KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan akan berbincang lebih lanjut mengenai titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berpendapat tiada keperluan melaksanakan darurat ketika ini.

Beliau dalam satu kenyataan malam ini berkata, kerajaan turut mengambil maklum mengenai kenyataan Istana Negara berhubung perkara itu. 

"Jemaah Menteri mengambil maklum kenyataan Istana Negara mengenai pendapat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia.

"Jemaah Menteri akan berbincang dengan lebih lanjut akan titah Seri Paduka Baginda Tuanku. Keutamaan Jemaah Menteri dan kerajaan pada masa ini ialah untuk melindungi rakyat daripada wabak COVID-19.

BACA: Pemimpin politik, orang kenamaan berhimpun di kediaman Muhyiddin

BACA: LAPOR LANGSUNG: Tiada keperluan darurat, berhenti main politik - Titah Agong    

"Saya menjunjung kasih di atas kepercayaan Seri Paduka Baginda kepada kerajaan pimpinan saya dan menyambut baik nasihat supaya kestabilan kerajaan tidak diganggu-gugat," jelas Muhyiddin pada Ahad.

Malam ini, terdapat satu perjumpaan di antara pemimpin politik dan Perdana Menteri di kediamannya dipercayai susulan titah Yang di-Pertuan Agong itu pada petang Ahad.

Sementara itu, sekitar pukul 11 malam, beberapa kenderaan menteri Kabinet dan orang kenamaan dilihat meninggalkan kediaman Perdana Menteri.

Antara yang dilihat, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad; Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan; Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria; dan Menteri Sumber Manusia, Datuk M Saravanan.