SUNGAI PETANI: Tahap keyakinan masyarakat Cina yang merosot sejak kemenangan mengejut Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu merupakan antara petanda kegagalan pakatan itu sendiri.

Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee, sebahagian masyarakat Cina di negeri Kedah telah hilang keyakinan dan berpaling kepada Perikatan Nasional (PN) yang dilihat lebih cakna terhadap permasalahan rakyat.

Katanya, walaupun PH menang mengejut terhadap BN pada PRU14, kemenangan itu diselubungi kekecewaan rakyat terhadap kegagalan kerajaan pakatan itu menunaikan janji reformasi pentadbiran kerajaan di samping masalah dalaman berterusan dalam kalangan komponen parti.

Jelas Robert, dalam PRU15 nanti, jumlah sokongan terhadap PH dijangka akan berkurangan.

"Saya cukup yakin ia tidak akan setinggi 90 peratus untuk PH, ia mungkin akan berkurangan kepada 75 atau 70 peratus. Jadi sebagai masyarakat, wakil exco masyarakat Cina, saya cukup yakin kita kena buat kerja yang sepatutnya, bukannya mendengar sahaja netizen yang cakap-cakap dekat luar," katanyanketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.

Katanya lagi, sejak berkerjasama dengan Pas, persepsi yang diterima Robert sebelum ini terhadap parti itu nyata berbeza kerana politik matang.

Ujarnya, hak kesamarataan dan sifat rendah diri diamalkan pemimpin Pas, UMNO dan Bersatu amat disenangi masyarakat Tionghua di negeri Jelapang Padi itu.

"Menteri Besar Pas kita pun bagi peruntukan untuk sekolah Cina, beri RM100,000, jadi saya rasa Pas juga tidak rasis, mereka bantu beri beg sekolah, bantuan tokong dan lain-lain.

"Ia sebenarnya bukan sentimen yang digunakan di media sosial, Facebook. Sebenarnya Pas tidak rasis, dia bantu Cina, dia bantu India, jadi tidak ada isu," katanya lagi