PETALING JAYA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bahawa beliau banyak kehilangan kawan politik disebabkan mempertahankan prinsip.

Menurutnya, jika benar matlamat perjuanganya hanya bertunjangkan kepada jawatan Perdana Menteri semata-mata tanpa mengambil kira prinsip ideologi perjuanganya selama ini, maka matlamat tersebut sudah pun dicapai oleh beliau.

Malah jelasnya, kerusi nombor satu dalam pemerintahan kerajaan itu hampir didudukinya selepas ramai pemimpin daripada parti politik yang ada dalam kerajaan ketika ini menyatakan sokongan terhadap beliau ketika negara berdepan dengan krisis kepimpinan politik tidak lama dahulu.

"Maknanya, kalau hanya matlamat itu hanya (menjadi) Perdana Menteri, saya sudah capai. Tapi harganya apa? Harganya kompromi dengan rasuah skala besar, campur urusan badan kehakiman dan saya tidak sanggup.

“Jadi malam akhir itu, esoknya bertemu untuk mengesahkan surat perjanjian ataupun Akuan Bersumpah (SD) kepada Yang Di-Pertuan Agong, mereka rombak kerana saya tidak sanggup,” katanya ketika kepada pemberita pada program Pemukiman Sasterawan Dan Karyawan: Pengembangan Karya Di Selangor yang dihadiri oleh tokoh-tokoh besar sastrawan negara termasuk Datuk Seri A. Samad Said di sini hari ini.

Oleh yang demikian, jelasnya, disebabkan sifat untuk mempertahankan prinsip perjuangan itulah yang telah menyebabkan beliau banyak kehilangan rakan politik termasuk mereka yang pernah rapat dengan beliau yang turut terpesona dengan tawaran kedudukan yang diterima.

“Kilauan kuasa itu memukau... ini bukan baharu dan saya lihat semasa saya menjadi menteri dahulu begitu. Ada teman saya yang sangat baik yang cukup berprinsip yang Islamilah, datang ke rumah seusai Maghrib tegur saya mengapa tak boleh luluskan kedai judi di tempat dia.

“Saya tengok (dengan) kehairanan... saya menengking dia sedikit sebab Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) tarik baju saya sedikit suruh slow down. Maka itu kenyataannya, maka saya hilang kawan,” katanya lagi.

Justeru, Anwar berkata, adalah amat penting untuk orang-orang politik sentiasa mengutamakan soal akhlak dan Islam sebagai teras dan asas kepada setiap perjuangan.

Malah, katanya beliau sama sekali tidak menyesal dalam mempertahankan prinsip perjuangan walaupun terpaksa kehilangan rakan dan juga jawatan tertinggi yang mungkin mampu diperolehi.

Ujarnya, pelbagai tawaran termasuk elaun selaku Ketua Pembangkang yang bersetuju dengan perjanjian (persefahaman MoU) dengan kerajaan sedia ada, turut ditolaknya atas prinsip perjuangan.

Menyentuh mengenai karya-karya yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh sasterawan negara ketika ini, beliau turut menyatakan kebimbangan tentang keperihatinan di kalangan golongan muda negara ini yang kurang mengambil berat tentang manfaat yang mampu diperolehi daripada karya mereka.

Jelasnya, ia penting bagi golongan muda untuk mengambil manfaat daripada karya-karya tersebut bagi tujuan pencernaan dan pembinaan sesuatu tamadun.

“Bukan salah mereka (tetapi) salahnya sistem pendidikan, kepimpinan dan gesaan. Jadi, gedung-gedung itu harus mempopularkan (karya mereka), " tambahnya.