KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini secara berseloroh, mendakwa veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang merupakan individu yang setaraf dengan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata sumbangan Kit Siang kepada negara tiada bandingan dengan mana-mana individu di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung penganugerahan gelaran Tan Sri kepada bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

“Bagus sebab dia (Lim Kit Siang) sama taraf dengan Nik Aziz.

“Sumbangan Kit Siang kepada negara tak boleh dilawan oleh mana-mana pihak lain.

BACA: Keputeraan Agong: Kit Siang, Nik Aziz, Johari dapat gelaran Tan Sri

“Dia seorang yang setaraf dengan (Allahyarham) Nik Aziz,” katanya pada sidang media khas Mesyuarat Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu, di Kuala Lumpur pada Selasa.

Tambahnya, dia juga tidak marah apabila Kit Siang dianugerahkan gelaran berkenaan.

“Saya tak marah (Kit Siang) terima darjah Tan Sri,” ujarnya.

Seramai 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul mendahului senarai penerima dengan dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran 'Tan Sri'.

Terima gelaran Tan Sri, PM ucap tahniah

Turut dikurniakan darjah kebesaran PSM ialah 25 individu lain termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Patmanathan.

Selain itu, mantan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, mantan Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengarah Urusan Kumpulan Engtex Group Berhad Datuk Ng Hook turut menerima darjah sama.

Turut dikurniakan PSM ialah mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Seri Anifah Aman dan veteran politik Lim Kit Siang.