[KOLUMNIS] Memahami euforia dan dinamika dalam Sabah Memilih
![[KOLUMNIS] Memahami euforia dan dinamika dalam Sabah Memilih [KOLUMNIS] Memahami euforia dan dinamika dalam Sabah Memilih](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/71763873473_PRNSabah.jpg)
Pertembungan antara parti nasional dan lokal di PRN Sabah menimbulkan persoalan arah tuju kerajaan baru yang akan ditubuhkan. - Gambar hiasan/BERNAMA
Perhatian banyak pihak terarah kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung pada esok. Kempen selama dua minggu merancakkan lagi pesta demokrasi yang menyerlahkan situasi euforia dalam kedinamikan politik Sabah.
Ringkasan AI
- Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menonjolkan situasi euforia dalam politik negeri dengan penyertaan 596 calon dari 24 parti politik serta 74 calon bebas, memperlihatkan dinamika politik Sabah yang unik.
- Isu 4R (Royal, Religion, Race, Region) semakin dominan dalam politik Malaysia, khususnya faktor Region yang menonjol dalam PRN Sabah dengan penekanan hak negeri, khususnya berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
- Pertembungan antara parti nasional dan lokal di PRN Sabah menimbulkan persoalan arah tuju kerajaan baru yang akan ditubuhkan serta pentingnya kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat dalam memastikan pembangunan berterusan untuk rakyat Sabah.
Ini tidak termasuk 74 orang calon yang bertanding atas tiket bebas. Ada yang pernah bertanding sebelum ini mewakili parti politik tertentu namun memilih menjadi calon bebas pada kali ini. Begitulah lumrah dan kedinamikan politik Sabah.
Pelaksanaan pilihan negeri yang terasing daripada pilihan raya umum sememangnya menerima tumpuan istimewa. Seluruh jentera pilihan raya mana-mana parti politik tertumpu kepada pilihan raya negeri tersebut. Lebih-lebih lagi, di sebalik pilihan raya itu, tersingkap pelbagai isu yang terkait dengan hubungan kerajaan pusat dan negeri yang sekian lama didendangkan dengan versi baharu.
Dalam menganalisis PRN Sabah, kita sewajarnya melihat ia melangkaui proses membuang undi atau memangkah kertas undi. Tulisan ini memberi fokus lima perkara utama yang boleh dilihat sepanjang proses kempen dan menjelang PRN Sabah.
Pertama, peneguhan faktor 4R yang menyaksikan elemen negeri semakin mendominasi dalam wacana dan polemik politik Malaysia. Sebelum ini ramai yang percaya bahawa politik negara perlu mengambil kira sensitiviti faktor 3R, iaitu Royal (Istana), Religion (Agama) dan Race (Kaum). Namun satu lagi faktor yang kita tidak boleh menafikan adalah Region (Wilayah/Negeri).
Dalam PRN Sabah, faktor negeri menjadi isu utama yang ditonjolkan sebagai bahan kempen dan memancing undi. Sentimen kenegerian ditiupkan lebih-lebih lagi ketika pihak tertentu mempersoalkan hak negeri (Sabah) khususnya dalam sorotan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah memutuskan agar kerajaan Pprsekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula hak tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah. Perkara itu mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Kedua, wacana sistem persekutuan menjadi semakin terbuka dan berani. Pembentukan Malaysia adalah bertitik tolak daripada kesepaduan kerajaan pusat dan kerajaan negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Pesekutuan. PRN Sabah kali ini memperlihatkan semua pihak lebih terbuka membicarakan polemik berkaitan sistem Persekutuan khususnya yang melibatkan hak negeri.
Namun, itu tidak bermakna apabila usaha mengiktiraf hak kerajaan negeri, ia menidakkan keutuhan kerajaan pusat yang juga mempunyai peranan utama dan besar dalam menjayakan pelaksanaan sistem persekutuan.
Dalam hal ini, komitmen pemimpin-pemimpin parti politik sangat penting dalam mengharmonikan hubungan kerajaan pusat dan negeri agar tidak menyimbah api sekali gus boleh mengganggu-gugat kestabilan negara sedia ada.
Penerimaan kerajaan pusat terhadap Keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan hak tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah melambangkan keterbukaan mereka dalam mengiktiraf hak negeri. Malah dalam PRN Sabah ini, Pakatan Harapan (PH) memasukkan pemulangan 40 peratus hak negeri Sabah dalam manifesto bagi lebih menyakinkan para pengundi.
Ketiga, pertembungan antara parti nasional dan parti lokal terus membuka persoalan ke manakah hala tuju kerajaan baharu yang akan dibentuk kelak. Mana-mana parti politik yang menjadi parti pemerintah di Sabah tidak boleh mengelak untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat demi kepentingan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri kempen menyeru rakyat Sabah memilih wakil rakyat yang mampu bekerjasama dan berunding secara langsung dengan kerajaan persekutuan bagi mempercepatkan pembangunan.
Keempat, calon-calon muda sewajarnya diberikan lebih banyak peluang untuk memimpin Sabah. Dengan peningkatan dan komposisi pengundi muda, calon-calon muda wajar dipilih yang boleh membuka lembaran baharu politik Sabah. Dunia politik tidak seharusnya dibayangi pemimpin politik yang lama.
Barisan Nasional (BN) misalnya telah mengemukakan kira-kira 30 peratus calon muda dalam PRN Sabah kali ini. Antara yang menonjol ialah calon BN di Sulaman (N12), Dr. Shahnon Rizal Thaijuddin yang juga merupakan seorang doktor perubatan dan bercita-cita besar mahu memperbaiki mutu perkhidmatan kepada rakyat Sabah. Adakah beliau mampu muncul sebagai ikon politik anak muda di Sabah sama seperti Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh yang dicungkil bakat politiknya selepas memenangi PRN Melaka pada 2021 lalu?
Lawan beliau bukan calang-calang orangnya, iaitu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Langkah meletakkan Dr Shahnon bertanding di Sulaman dianggap suatu percaturan BN yang berani. Mungkinkah ini satu cara mempopularkan Dr Shahnon untuk masa depan politik Sabah?
Kelima, signifikan PRN Sabah kepada PRU ke-16 masih menjadi tanda tanya. Pembentukan kerajaan negeri yang dijangka hasil kerjasama daripada pelbagai parti politik akan dapat memberi suluhan kepada sokongan kerajaan perpaduan di peringkat pusat dalam PRU akan datang.
Sebagai parti pemerintah, kerajaan perpaduan tetap mempunyai kelebihan dan akan memberi sokongan kepada kerajaan baharu Sabah nanti. Pada masa yang sama, kerajaan negeri turut memerlukan sokongan kerajaan pusat khususnya dalam merancakkan lagi pembangunan negeri.
Secara tuntasnya, euforia yang berlaku dalam PRN Sabah kali ini sewajarnya disorot dalam sudut kualiti dan nilai demokrasi yang boleh dibanggakan. Kedinamikan politik seringkali diukur dengan melihat angka dan nombor semata-mata, namun ia mesti juga mendorong kepada percambahan budaya politik baharu yang lebih sihat dan berintegriti.
Ingatlah, politik dan demokrasi bukan semuanya mengenai persaingan dan perebutan kuasa tetapi khidmat dan prestasi kepada rakyat yang mesti diutamakan. Selamat memilih untuk PRN Sabah.
* Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain ialah penganalisis politik dan Profesor dalam politik dan kerajaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

