DALAM beberapa jam lagi lebih 450,000 rakyat Melaka akan keluar mengundi bagi menentukan bakal wakil rakyat mereka. Di tengah-tengah pelbagai spekulasi parti yang berpeluang untuk memperoleh mandat, apakah pengundi Melaka bakal mencipta sejarah di negeri yang bersejarah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan secara mengejut. Dalam tinjauan dibuat menjelang hari pengundian sebenar PRN esok, satu perkara yang agak jelas dan luar biasa adalah ramai melontarkan pendirian tidak akan keluar mengundi. Ada yang tawar hati. Ada yang kecewa. Ada yang bimbang. Ada yang khuatir. Malah, seluruh negeri kelihatan sunyi daripada perang poster dan bendera. Negeri bersejarah ini berbeza secara total. Lain daripada lain.

"2P" dikaitkan sebagai alasan kepada senario itu. Pertama, ada yang takut untuk keluar mengundi disebabkan pandemik COVID-19. Sementara kes keseluruhan menunjukkan peningkatan sejak dua minggu lalu, sesetengah pengundi tidak mahu menjadi mangsa jangkitan. Keduanya, ada yang berpendirian apa manfaat yang mereka akan dapat sekiranya keluar mengundi kali. Di sini, menurut mereka, mereka mendakwa sudah tawar hati untuk keluar mengundi disebabkan kemelut politik yang tidak ada kesudahan sejak dua tahun lalu.

Pada hari penamaan calon, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan sasaran sekitar 70 peratus akan keluar mengundi. Bagaimanapun beberapa pihak dari kalangan pemimpin politik dan penganalisis melihat peratus keluar mengundi kemungkinan lebih rendah berbanding ramalan badan pengurus pilihan raya itu. Ada yang berpandangan kemungkinan antara 55 hingga 60 peratus. Sekiranya andaian itu menjadi kenyataan bermakna ia akan menjadi paras paling rendah dalam sejarah mana-mana pilihan raya negeri.

Apapun diharap keadaan seumpama itu tidak berlaku. Diharap bilangan yang akan keluar mengundi akan menyamai peratusan yang direkodkan semasa Pilihan Raya Umum 2018, iaitu sekitar 80 peratus dan jika boleh melebihi rekod 9 Mei 2018.

Meminta, menasihatkan dan merayu para pengundi keluar mengundi merupakan tanggungjawab setiap pemegang taruh. Ia sangat penting ketika kita berhadapan dengan persekitaran "2P".

Buat masa ini, tidak ada manual yang khusus mengenai hak dan tanggungjawab pengundi dalam pilihan raya demokrasi di Malaysia. Bagaimanapun berdasarkan kepada undang-undang sedia ada, terutama Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri, Akta Pilihan Raya dan Akta Kesalahan Pilihan Raya serta peraturan-peraturan pilihan raya, perkara-perkara berikut boleh disenaraikan sebagai hak dan tanggungjawab pemilih atau pengundi. Untuk menikmati hak sebagai pemilih, setiap rakyat yang layak perlu mendaftar sebagai pemilih atau nama mereka perlu ada dalam daftar pemilih.

Di bawah undang-undang semasa, kita tidak boleh memaksa atau mewajibkan setiap pengundi untuk keluar mengundi. Bagaimanapun kita boleh, perlu dan harus terus menggalakkan, menyeru dan memujuk agar setiap pengundi yang layak untuk keluar mengundi. Jika rakyat enggan keluar mengundi, apa gunanya mengadakan pilihan raya. Buang duit dan buang masa, kata orang.

Setiap rakyat mempunyai hak dan tanggungjawab sebagai seorang pengundi. Setiap pengundi mempunyai kuasa "satu undi" dalam menentukan masa depan negeri dan negara. Dalam kes ini, negeri bersejarah Melaka. Hak ini diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri serta undang-undang pilihan raya yang berkaitan. Pengundi Melaka perlu memainkan peranan dalam menentu hala tuju baharu.

Dalam buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir, ada disenaraikan hak dan tanggungjawab para pengundi. Antara hak dan tanggungjawab pengundi, termasuklah:

• Setiap rakyat yang telah berdaftar sebagai pemilih berhak untuk mengundi dalam mana-mana pilihan raya
• Setiap pengundi berhak memperoleh sekurang-kurangnya satu kertas undi (bergantung sama ada pilihan raya kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau kedua-duanya sekali)
• Pengundi tidak boleh dihalang daripada menunaikan tanggungjawab mereka
• Pengundi tidak boleh dihalang daripada memasuki pusat pengundian
• Majikan perlu membenarkan pekerja mereka untuk mengundi sama ada dengan memberi cuti atau pelepasan waktu untuk mengundi
• Pengundi yang cacat atau kurang berupaya berhak mendapatkan kemudahan yang disediakan oleh SPR untuk mengundi
• Tidak siapa pun boleh memaksa kepada siapa seseorang pengundi harus mengundi
• Menyemak butiran atau status sebagai pengundi dari semasa ke semasa
• Segera memaklumkan kepada SPR jika wujud kesilapan butiran diri dalam daftar pemilih
• Mematuhi peraturan pilihan raya yang ditetapkan oleh SPR
• Perlu membawa dokumen pengenalan diri semasa hendak mengundi.
• Membenarkan jari dicalit dengan dakwat kekal atau dicelup ke dalam botol dakwat kekal sebelum boleh diberikan kertas undi
• Hanya boleh mengundi sekali dalam mana-mana satu pilihan raya
• Jangan memasukkan kertas undi palsu ke dalam peti undi.
• Membuat aduan jika hak mengundi dinafikan sama ada kepada SPR ataupun polis
• Jangan menyerahkan kad pengenalan kepada individu lain untuk tujuan mengundi

Di Melaka, susulan pengundian awal dan pos, seramai 476,037 individu biasa yang layak mengundi esok. Menurut Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal dan 7,601 orang yang layak untuk mengundi secara pos. Hampir 90 peratus pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka. Peratusan itu sangat tinggi, sekali gus memberi gambaran berbeza berbanding apa yang diperoleh semasa tinjauan di Melaka.

SPR menasihati pengundi supaya tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan pencegahan COVID-19. Pengundi dinasihatkan buat semakan awal. Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pemilih. SPR juga melalui aplikasi MySPR Semak, meletakkan maklumat Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan untuk setiap pengundi dan pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan tersebut. Individu yang positif COVID-19 atau perlu menjalani kuarantin di rumah atau hospital, tidak dibenarkan mengundi.

Di pusat pengundian, semua pengundi perlu menjalani saringan dan imbasan suhu badan di pintu masuk pusat mengundi, dan mereka yang bergejala atau memiliki suhu melebihi 37.5 darjah Celsius akan diasingkan di dalam khemah khas. Semua pengundi perlu mematuhi SOP asas seperti saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal di pusat pengundian. Pengundi berstatus pesakit dalam siasatan (PUI) individu dalam pemantauan (PUS) yang ingin mengundi pula perlu memohon kebenaran Pegawai Kesihatan Daerah di Pejabat Kesihatan Daerah yang mengawasi Arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian berkenaan, untuk keluar sementara ke pusat mengundi.

Ada juga pihak berpandangan bahawa peratusan keluar mengundi kemungkinan amat rendah sebab ramai rakyat Melaka tidak tahu sepenuhnya tentang PRN kali ini dan calon-calon yang bertanding ekoran SOP SPR di Melaka kali ini. Ini kali pertama dalam sejarah pilihan raya kempen bersemuka dan terbuka serta dalam skala yang besar tidak dibenarkan. Sebaliknya, calon-calon yang bertanding digalak menggunakan media sosial untuk akses kepada pengundi, tetapi kempen menerusi media terutama media sosial tidak cukup taring untuk mendampingi pengundi.

Apapun, ini kali pertama suasana luar biasa dialami dalam norma baharu pilihan raya, yang ada kaitan dengan krisis kesihatan paling buruk dialami dan pada masa yang sama PRN yang dicetuskan oleh krisis politik.

Kedua-dua faktor "P" mempunyai kesan besar ke atas pengundi sama ada hendak keluar mengundi ataupun sebagainya pada hari esok.

Memandangkan setiap pengundi mempunyai hak dan tanggungjawab dalam merealisasikan pilihan raya demokrasi, keputusan tidak keluar mengundi tidak sepatutnya berlaku. Maka, keluar mengundi itu adalah penting dan mustahak untuk menentukan masa depan mereka.

Krisis politik yang melemahkan semangat mereka mengenai nilai undi masing-masing, dan kegusaran dan kebimbangan mengenai COVID-19 juga seharusnya tidak menggugat keputusan untuk keluar mengundi. Kedua-dua krisis politik dan kesihatan sebenarnya merupakan sebahagian daripada komponen dalam ekosistem kehidupan. Kita perlu mengharungi apa jua krisis untuk membina masa depan lebih baik.

Tunaikan hak dan tanggungjawab demi masa depan yang lebih baik. Pilihan raya itu satu peluang untuk membetulkan keadaan yang tidak betul. Jangan biarkan hak anda dibayangi dan dikuburkan oleh pihak atau unsur lain, dan ditenggelamkan oleh pandemik atau krisis kesihatan.

Gunakan hak dengan baik, bijak dan sepenuhnya. Anggap keluar mengundi esok seperti kita ke tempat kerja, keluar makan atau membeli-belah setiap hari, yang diiringi dengan pematuhan kendiri SOP dan peraturan sedia ada.

Begitu juga di Melaka esok, dan semasa apa jua pilihan raya yang bakal diadakan. Kita jaga kita!


* Dr G Manimaran penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.