MOSCOW: Jumlah wartawan yang terbunuh di seluruh dunia meningkat 20 peratus kepada 189 orang dalam tempoh 2024 hingga 2025, dengan majoriti terkorban dalam konflik bersenjata, termasuk akibat serangan dron, menurut laporan terbaharu Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Antara 1 Jan 2024 hingga 31 Dis 2025, UNESCO merekodkan kematian 189 wartawan, petugas media dan penggiat media sosial yang terbabit dalam aktiviti kewartawanan di seluruh dunia, meningkat 20 peratus berbanding tempoh pelaporan sebelumnya," menurut laporan itu.
Laporan berkenaan menyatakan bahawa jumlah wartawan yang terbunuh pada 2025 sahaja adalah yang tertinggi berbanding mana-mana tahun tunggal dalam tempoh lapan tahun lepas. Kebanyakan kematian itu berlaku dalam konflik bersenjata, termasuk akibat serangan dron.
Menurut UNESCO, jumlah kematian tertinggi direkodkan di negara Arab serta negara di Amerika Latin dan Caribbean, masing-masing dengan 97 dan 37 wartawan terkorban.
Palestin mencatatkan jumlah wartawan terbunuh tertinggi dalam tempoh dua tahun itu, dengan sekurang-kurangnya 62 petugas media kehilangan nyawa, menurut laporan berkenaan.
Laporan itu turut menunjukkan bahawa 12 wartawan terbunuh di Ukraine dalam tempoh berkenaan, manakala dua lagi di Persekutuan Rusia.
Jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova berkata nama ramai wartawan Rusia yang terbunuh akibat tindakan anggota militan rejim Kyiv sekali lagi tidak disenaraikan dalam laporan terbaharu Ketua Pengarah UNESCO mengenai keselamatan wartawan.
Jumlah wartawan yang terbunuh di zon konflik di seluruh dunia meningkat 24 peratus dalam tempoh dua tahun lepas, dengan sebahagian besar kematian itu berpunca daripada serangan dron, menurut laporan berkenaan.
"Sepanjang tempoh dua tahun 2024-2025, UNESCO merekodkan 127 kes pembunuhan wartawan di negara yang mengalami konflik bersenjata, merangkumi 67 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian," menurut laporan itu.
Selain itu, data yang tersedia menunjukkan bahawa 40 peratus daripada kematian berkenaan berpunca daripada penggunaan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV). Menurut UNESCO, sekurang-kurangnya 50 wartawan terbunuh di enam negara berbeza akibat serangan dron sepanjang 2024 hingga 2025.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI