SEREMBAN: Di atas kertas, Chennah kelihatan seperti kerusi yang selamat buat DAP. Anthony Loke mempertahankan kerusi ini sejak 2013 dan dalam PRN 2023 beliau menang dengan majoriti selesa 2,200 undi.
Namun, politik tidak pernah bergerak hanya berdasarkan keputusan pilihan raya yang lalu.
Hakikatnya, Chennah mungkin menjadi salah satu kerusi paling menarik untuk diperhatikan pada PRN Negeri Sembilan kali ini, bukan kerana siapa calonnya, tetapi kerana perubahan struktur pertandingan yang berlaku.
Ramai melihat pertandingan ini sebagai pertarungan antara Anthony Loke dan calon MCA, Siow Kong Choon atau lebih mesra dipanggil John. Tetapi persoalan sebenar jauh lebih besar daripada itu.
Persoalannya ialah: ke manakah perginya 3,688 undi PN yang diperoleh pada 2023?
Ini kerana buat kali pertama sejak beberapa pilihan raya, PN tidak meletakkan calon di Chennah. Maka blok pengundi tersebut kini menjadi "undi terapung" yang belum diketahui arahnya.
Sama ada mereka mengundi BN, memilih PH atau tidak keluar mengundi langsung akan menentukan keputusan akhir.
Inilah sebabnya Chennah menjadi makmal terbaik untuk menguji keberkesanan persefahaman BN-PN.
Jika sebahagian besar penyokong PN benar-benar memindahkan undi kepada BN, majoriti Anthony Loke boleh mengecil dengan ketara.
Sebaliknya, jika pemindahan itu gagal berlaku, ia memberi isyarat bahawa kerjasama di peringkat elit politik belum tentu diterima oleh akar umbi.
Sebab itu Chennah bukan sekadar pertandingan dua calon, tetapi ujian terhadap tingkah laku pengundi.
Kerusi ini juga unik dari sudut demografi. Melayu membentuk sekitar 46.3 peratus pengundi manakala Cina 44.4 peratus. Tiada mana-mana kaum memiliki majoriti mutlak.
Dalam keadaan seperti ini, kemenangan biasanya tidak bergantung kepada satu blok etnik sahaja tetapi kepada kemampuan calon menarik sokongan merentas kumpulan pengundi.
Data PRN 2023 menunjukkan tiket Perpaduan memperoleh sekurang-kurangnya majoriti mutlak dalam kalangan pengundi Cina, manakala corak undi Melayu jauh lebih sukar dipastikan.
Ini bermaksud sokongan bukan Melayu masih menjadi asas penting kepada PH, tetapi keputusan akhir tetap bergantung kepada bagaimana pengundi Melayu bertindak balas terhadap perubahan landskap politik semasa.
Satu lagi faktor yang sering disalah tafsir ialah pengundi muda.
Ramai menganggap pertambahan pengundi muda secara automatik memberi kelebihan kepada pihak tertentu.
Namun, data Chennah tidak menyokong kesimpulan mudah seperti itu. Walaupun terdapat lebih 660 pengundi baharu berusia 18 hingga 21 tahun yang majoritinya Melayu, jumlah itu masih jauh lebih kecil daripada majoriti kemenangan 2023.
Lebih penting, tiada siapa boleh memastikan sama ada mereka akan keluar mengundi atau parti mana yang akan dipilih.
Begitu juga dengan kadar keluar mengundi.
Banyak analisis politik menganggap peningkatan peratusan keluar mengundi sebagai petunjuk kepada perubahan sokongan. Tetapi pengalaman pilihan raya terdahulu menunjukkan hubungan antara kedua-duanya sangat lemah.
Kadar keluar mengundi yang tinggi tidak semestinya menguntungkan mana-mana pihak. Apa yang lebih penting ialah siapa yang berjaya menggerakkan penyokong masing-masing pada hari mengundi.
Dalam konteks inilah kempen kedua-dua calon menjadi menarik.
Anthony Loke menawarkan kelebihan sebagai seorang menteri persekutuan yang mempunyai akses kepada kerajaan pusat, manakala Siow Kong Choon cuba membawa naratif bahawa wakil rakyat sepenuh masa lebih dekat dengan rakyat dan isu tempatan. Kedua-duanya menawarkan nilai yang berbeza kepada pengundi.
Akhirnya, Chennah bukan lagi sekadar kubu kuat DAP atau sasaran BN.
Ia ialah kerusi yang boleh menjawab beberapa persoalan besar mengenai politik Malaysia hari ini: adakah penyokong PN sanggup mengundi calon BN apabila tiada calon mereka sendiri?
Adakah pengundi Perpaduan 2023 akan kekal bersama PH atau sebahagiannya kembali kepada BN? Dan sejauh mana faktor penyandang masih mampu mengatasi perubahan struktur pertandingan?
Jawapan kepada persoalan-persoalan inilah yang menjadikan Chennah antara kerusi paling penting untuk diperhatikan pada 1 Ogos nanti.
Keputusan di sini mungkin tidak menentukan siapa membentuk kerajaan negeri, tetapi ia boleh menjadi petunjuk awal sama ada formula kerjasama politik baharu benar-benar diterima oleh pengundi di peringkat akar umbi.
- HELME HANAFI merupakan seorang penulis buku dan bekas wartawan politik.
- Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.