KUALA LUMPUR: Kongres Nasional PKR 2020 yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini terpaksa ditangguhkan selepas menerima surat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Setiausaha Pengelola parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas parti itu menerima surat daripada MKN pada pukul 6.21 petang, Jumaat dan perkara itu turut dimaklumkan secara lisan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan pada hari yang sama.

Menurutnya, MKN sebelum ini menerusi satu surat bertarikh 27 Mei 2021, menyatakan pihaknya tiada halangan untuk mengadakan kongres terbabit secara dalam talian sepenuhnya.

"Maka, Majlis Kepimpinan Pusat telah mengambil keputusan untuk menangguhkan Kongres Nasional PKR," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Justeru itu, kata Nik Nazmi, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan butiran keputusan itu dalam amanat khas menerusi Facebook PKR, pada pukul 11 pagi, 6 Jun ini (Ahad).

Menurutnya, Anwar yang juga Ketua Pembangkang akan turut menyentuh isu ekonomi, COVID-19 serta perkembangan politik terkini.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut tempoh penangguhan.