POLITICS
Kongres PKR 2025: Pengorbanan, perjuangan Rafizi dan Izzah sukar ditandingi - Anwar

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka menerima teguran dan kritikan, serta menerima apa juga pandangan yang disampaikan calon pimpinan pusat, termasuk Datuk Seri Rafizi Ramli sendiri. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka menerima teguran dan kritikan, serta menerima apa juga pandangan yang disampaikan calon pimpinan pusat, termasuk Datuk Seri Rafizi Ramli sendiri.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kritikan terbuka daripada calon pimpinan parti, termasuk Rafizi Ramli, dan menganggap ia sebagai usaha memperbaiki parti.
- Anwar mengingatkan ahli supaya menghormati jasa dan pengorbanan Rafizi dan Nurul Izzah, walaupun tidak bersetuju dengan pandangan mereka.
- Nurul Izzah menewaskan Rafizi dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR, manakala beberapa pemimpin lain turut memenangi jawatan utama parti.
“Kerana agenda perjuangan ini lebih tinggi, lebih besar daripada agenda Anwar. Anwar itu satu sosok, hari ini ada... empat bulan lagi berusia 78 tahun, dua tahun lagi sudah 80 tahun. Jadi kemungkinan tidak ada itu lebih banyak.
“Saya nak pastikan, atas kekuatan yang kita ada. Kita boleh tegur, kita boleh tak suka tetapi sudah percaya. Sebab itu saya sebut di mana, kita tahu orang tegur, sama ada Rafizi atau Izzah.
“Yang tegur tu kadang-kadang tak upaya kamu nak saingi pengorbanan mereka berdua. Dari nak tegur, tegur lah. Tapi janganlah bandingkan kehebatan dan kekuatan mereka dan pengorbanan mereka. Tak ramai yang (menyamai). Kalau terlanjur, mohon maaf (kepada mereka),” katanya lagi.
Anwar berkata demikian sewaktu berucap menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional Keadilan 2025 yang diadakan di Johor Bahru, pada Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Datuk Dr Zaliha Mustafa telah mengumumkan keputusan di mana Nurul Izzah berjaya menewaskan Rafizi untuk jawatan nombor dua parti tersebut.
Sementara itu, empat jawatan Naib Presiden dimenangi oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan; Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminudin Harun; dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Jawatan Ketua Wanita pula dimenangi oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang menewaskan pencabarnya Rodziah Ismail, manakala Setiausaha Politik Menteri Kewangan Mohd Kamil Munim memenangi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan tanpa bertanding.
Dalan pada itu Anwar mengingatkan akar umbi bahawa biarpun Rafizi agak keras dalam memberi kritikan, namun itu langsung tidak bermakna Ahli Parlimen Pandan itu adalah pengkhianat kepada perjuangan parti.
Peringatan yang sama juga beliau sampaikan kepada pengkritik Nurul Izzah.
“Saya juga ada pandangan, tapi tidak sekeras Rafizi. Tapi degilnya lebih kurang sama, keras kepala pun lebih kurang.
“Tapi nak bagitahu, kalau tak setuju, janganlah lebih- sangat. Mana mungkin... tak upaya saudara saingi, dan bedanya ini bukan orang yang tidak bersetuju, lebih idealistik ya, terlanjur ya, tapi bukan khianat. Dia nak kuatkan parti, dia bukan khianat,” tegasnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami