Skip to main content

Malaysia

Trend pelajar IPT jadi 'keldai akaun' semakin membimbangkan, terima imbuhan lumayan sindiket

PUTRAJAYA, 8 Jun -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Auditorium Setia Perkasa, Kompleks Setia Perkasa hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sindiket berkenaan dikesan menawarkan bayaran antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan kepada pelajar sebagai ganjaran untuk menggunakan akaun mereka bagi tujuan pemindahan wang haram. - Gambar fail

SEREMBAN: Trend pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang membenarkan akaun bank peribadi mereka digunakan oleh sindiket penipuan dalam talian semakin membimbangkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sindiket berkenaan dikesan menawarkan bayaran antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan kepada pelajar sebagai ganjaran untuk menggunakan akaun mereka bagi tujuan pemindahan wang haram.

Menurutnya, akaun yang dipinjam atau disewa itu kemudian digunakan sebagai akaun keldai bagi menyalurkan wang hasil penipuan sebelum dikeluarkan oleh sindiket terbabit.

“Saya memandang serius perkara ini kerana trend jenayah penipuan dalam talian menunjukkan peningkatan yang membimbangkan dan antara modus operandi utama yang digunakan ialah melalui akaun keldai, termasuk melibatkan pelajar universiti.

“Sindiket akan menggunakan akaun berkenaan untuk menerima wang daripada mangsa sebelum mengeluarkannya, manakala pemilik akaun pula diberikan imbuhan,” katanya selepas melancarkan Program Sekolah Selamat di Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz, di sini, hari ini.

Sebelum menghadiri program berkenaan, Saifuddin turut mengadakan lawatan ke SMKA Sheikh Haji Mohd Said, SMK Tunku Ampuan Durah dan Kolej Vokasional Ampangan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan telah mengambil langkah tegas bagi mengekang kegiatan penipuan dalam talian, termasuk meminda Kanun Keseksaan bagi memperuntukkan kesalahan berkaitan pemilikan, kawalan atau pemindahan instrumen pembayaran milik orang lain tanpa kebenaran.

Beliau berkata, usaha pendidikan dan kesedaran akan terus diperkukuhkan bagi memastikan golongan muda memahami risiko serta implikasi undang-undang sekiranya membenarkan akaun mereka digunakan pihak lain.

“Kita perlu mula menyampaikan maklumat ini di sekolah kerana ancaman digital seperti penipuan dalam talian semakin berkembang dan sindiket sentiasa mencari kaedah baharu untuk mewujudkan akaun keldai,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 juga merupakan antara inisiatif kerajaan dalam membantu mangsa serta membendung jenayah penipuan.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus melaksanakan pelbagai program bagi memastikan persekitaran sekolah kekal selamat daripada pelbagai ancaman.

Menurutnya, aspek keselamatan yang diberi perhatian bukan sahaja melibatkan buli fizikal dan siber, malah kegiatan gengsterisme, gangguan seksual, penyalahgunaan dadah serta pemilikan bahan terlarang.

“Matlamat kita adalah memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat dan pada masa sama melahirkan pelajar yang mampu menjadi penyampai maklumat serta agen kesedaran kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan sekolah perlu bebas daripada pengaruh ekstremisme dan ideologi berbahaya yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Menyentuh perkara itu, beliau mendedahkan polis sebelum ini menahan seorang pelajar sekolah menengah di Kedah selepas telefon bimbitnya didapati mengandungi bahan berkaitan keganasan melampau.

“Walaupun ia kes terpencil, pihak berkuasa memandang serius perkara ini kerana penyebaran fahaman ekstrem dan kebencian terhadap kaum atau agama lain boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat serta negara,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement