IPOH: Konvensyen pertama Kerajaan Perpaduan Perak yang bakal berlangsung pada 28 Jan ini dianggap sebagai langkah penting dalam membuktikan keseriusan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk terus bekerjasama demi melancarkan pentadbiran kerajaan negeri.

Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR), Perak Mohd Azlan Helmi berkata, antara inti pati yang akan dibincang oleh kedua-dua pihak dalam konvensyen itu ialah usaha menyelesaikan permasalahan rakyat.

"Konvensyen yang akan diadakan ini menghimpunkan semua parti bagi menunjukkan betapa bersatu padunya kita dalam usaha mencapai matlamat utama membangunkan Perak dengan membawa lebih banyak pelaburan ke negeri ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Kaunter Pendaftaran PADU di Pusat Ekonomi Digital Batu 8, Tambun, di sini, hari ini.

Beliau berkata, PKR Perak akan menghantar kira-kira 1,500 perwakilan untuk turut serta dalam konvensyen itu yang bakal dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, BN dan PH Perak akan mengadakan konvensyen itu, yang membabitkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan, di Hotel Casuarina, Meru.
- BERNAMA