Tindakan Pengerusi DAP Perak memperlekehkan nama Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berceramah di sebuah majlis yang tersebar di media sosial turut mendapat kritikan Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ujar Wan Azizah, Nga Kor Ming tidak sepatutnya berkata demikian.

“Tak sepatutnya beliau berkata macam tu memandangkan kita adalah satu pasukan. Lagipun, Tun juga ada memuat naik video memohon maaf akan kesilapan lampaunya yang dibaiki, jadi bukankah itu satu tindakan yang mulia?” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam majlis santai bersama penduduk di Warung Haji Ibrahim, Bukit Naning, di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, mengulas mengenai kedudukan Kor Ming dalam Pakatan Harapan khususnya DAP, Wan Azizah berkata, keputusan itu perlu dirujuk kepada DAP sahaja.

Terdahulu, satu klip video ceramah Kor Ming menjadi tular apabila mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan hidup lama dan memberi mesej DAP menggunakan bantuan calon Parlimen Langkawi itu dalam PRU-14 ini untuk menjatuhkan BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Video berdurasi seminit 53 saat itu mendapat perhatian apabila ceramah berkenaan menggunakan bahasa Mandarin dan terkandung sari kata bahasa Melayu mengenai kutukannya terhadap bekas perdana menteri itu.