IPOH: Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran mendakwa beliau telah dihubungi seorang individu tidak dikenali yang menawarkan ganjaran sekiranya memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP yang juga bekas Menteri Sumber Manusia itu berkata, tawaran itu dibuat melalui pesanan di aplikasi WhatsApp menerusi telefon setiausahanya, Jeremy Chuah semalam.

Beliau mendakwa tawaran itu antara lain menyebut ganjaran wang berjumlah RM30 juta, kedudukan sebagai menteri serta pelbagai insentif lain.

“Individu itu menghubungi Jeremy di Whatsapp dan menyebut ‘harga durian RM30’ yang mana ia membawa maksud tawaran RM30 juta kepada saya sekiranya saya setuju dengan tawaranya,” katanya kepada pemberita selepas membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Sabtu.


Satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak pada Sabtu.


Selain itu Kulasegaran mendakwa beliau pernah dihubungi secara terus nombor yang sama beberapa kali sejak akhir-akhir ini namun enggan melayannya.

Beliau mendakwa kemungkinan daripada itu individu tersebut cuba mendapatkan nombor setiausahanya untuk membuat tawaran berkenan.

Sementara itu, Jeremy pula mendakwa, mesej daripada individu yang hanya dikenali sebagai ‘Jep’ itu juga menawarkan salah satu daripada jawatan menteri yang dikosongkan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad serta Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah baru-baru ini.

“Dia bukan sahaja menawarkan RM30 juta malah secara tersirat menawarkan jawatan menteri yang dikosongkan Ahli Parlimen Parit Sulong serta Ahli Parlimen Lenggong. Dia menawarkan kepada Kulasegaran salah satu jawatan itu,” dakwa Jeremy lagi.

Dalam pada itu Kulasegaran meminta agar pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara berkenaan dan mengambil tindakan segera.

Selain itu beliau menyifatkan tawaran itu sebagai tindakan terdesak pihak-pihak tertentu yang cuba ‘memancing’ Ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong PN.

“Ini adalah tindakan terdesak mereka dan saya percaya bahawa saya bukanlah satu-satunya Ahli Parlimen pembangkang yang ditawarkan kedudukan atau wang seperti itu,” dakwa Kulasegaran lagi.