KUCHING: Pengumuman Ahli Parlimen Julau, yang juga bekas Pengerusi PKR Negeri Sarawak, Larry Sng Wei Shien keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Sabtu pasti meruntun jiwa presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana Anwar yang berkawan rapat dengan bapa Larry, Datuk Sng Chee Hua amat mengharapkan kesetiaannya. Apatah lagi bagi menambah sokongan untuk merampas kembali kerusi Perdana Menteri daripada genggamannya, setahun lalu.

Biarpun lulusan London School of Economics itu baharu berusia 41 tahun pada 14 September depan, namun ia bukan bermaksud Larry budak hingusan dalam politik.

Sebaliknya, Larry yang menyertai Parti Keadilan Ralyat (PKR) pada 2018 merupakan ahli politik yang cukup pengalaman.

BACA: PN di landasan tepat, keputusan keluar parti demi rakyat - Larry Sng, Steven Choong

Beliau mula menyertai politik pada usia 22 tahun apabila memenangi kerusi Dun Pelagus pada 2001, menggantikan bapanya atas tiket Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).

Pada 2004, beliau menyertai bapanya dan Tan Sri Dr James Masing menubuhkan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan bertanding atas tiket parti tersebut pada 2006.

Sebelum itu pada 2004, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud melantik beliau sebagai menteri muda termuda dalam sejarah Sarawak drngan portfolio Perancangan Ekonomi dan Pembangunan Industri (Perancangan).

Pada 2007, beliau dipecat daripada PRS berikutan pergolakan pimpinannya. Larry tidak bertanding dalam PRN Sarawak pada 2011, beliau menubuhkan Parti Pekerja Sarawak (SWP) dan bertanding di Parlimen Lubok Antu pada 2013 tetapi kalah.

Pada 2016, menjelang PRN Sarawak ke-11, beliau mengundur diri daripada SWP sebelum pada 2018 bertanding di Parlimen Julau sebagai calon Bebas, mencabar musuhnya dalam PRS dahulu, Datuk Joseph Salang Gandum.

BACA: PKR pecat keahlian Larry Sng, Steven Choong serta-merta, kaji tindakan mahkamah

Larry menang dengan majoriti 1,931 undi, dan ketika Putrajaya berubah pimpinan, beliau mengumumkan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Larry yang kemudian dilantik mengetuai Majlis Pimpinan Negeri Sarawak pada 2020 susulan pergolakan dalam parti tersebut, yang menyaksikan Baru Bian dan para penyokong yang berpihak kepada Azmin Ali dilucut keahlian.

Dengan pengalaman tersebut, tindakan Larry bukanlah satu kejutan. Tetapi adalah sesuatu yang telah difikir panjang, apatah lagi beliau memilih menyertai Perikatan Nasional dan memutuskan sokongan kepada Anwar.

Menurut sumber, puncanya adalah tekanan yang dialami di dalam parti, selain keinginannya untuk memberi khidmat lebih berkesan kepada rakyat di kawasannya.

Yang menariknya, sebelum mengumumkan keputusan tersebut, beliau lebih dahulu mempengerusikan mesyuarat cabang dan negeri untuk menjelaskan keputusannya. Dan ia diterima sepenuh hati dan profesional.

Di blok pembangkang Sarawak, apa jua keputusan Larry tidak akan menukar sebarang status quo politik. Sebaliknya ia akan hanya melemahkan sokongan Anwar untuk menjadi PM.

Larry juga tidak mungkin akan bertanding dalam PRN Sarawak ke-12 bagi menghormati Gabungan Parti Sarawak yang menjadi rakan PN. Tetapi tidak bermakna beliau tidak mengekalkan kerusi Julau yang kini miliknya.

Siapa yang akan bertanding di Julau kelak, pasti akan dirundingi dan ditekuni secara mendalam, namun yang pasti PKR kini hanya memiliki satu kerusi di Sarawak iaitu di Parlimen Miri, dengan wakilnya Dr Michael Teo.