Skip to main content

Politik

Lapan parti politik sertai muzakarah bincang isu Islam, Melayu dan Bumiputera

MENCARI TITIK-TITIK PERTEMUAN ANTARA PARTI-PARTI TERAS ISLAM, MELAYU DAN BUMIPUTERA Petang tadi sejarah tercipta berlangsungnya Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang menghimpunkan Parti-Parti Politik  berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera di Ibu Pejabat UMNO, WTC Kuala Lumpur. _FB  DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
Asyraf Wajdi berkata muzakarah itu menjadi wahana penting untuk semua pihak bertukar pandangan secara terbuka dalam usaha mencari titik persefahaman mengenai perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera. - Foto Facebook/Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR: Lapan parti politik yang berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera berhimpun dalam Muzakarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), pada Khamis.

Muzakarah itu dipengerusikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, yang berkata beliau diamanahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk mempengerusikan pertemuan kali pertama itu.

Advertisement

Menurut beliau, muzakarah berkenaan dicetuskan oleh Ahmad Zahid bagi menghimpunkan pelbagai parti politik tanpa mengira sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang demi kepentingan ummah serta kedudukan Islam di negara ini.

Antara parti yang terlibat ialah UMNO, Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), BERJASA, Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

Asyraf Wajdi berkata muzakarah itu menjadi wahana penting untuk semua pihak bertukar pandangan secara terbuka dalam usaha mencari titik persefahaman mengenai perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera.

“Dalam sistem demokrasi, parti politik boleh berbeza pandangan sama ada berada di blok kerajaan mahupun pembangkang dan perbezaan itu adalah lumrah dalam politik.

“Namun apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera, ia seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan kita semua melangkaui perbezaan politik kepartian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, semua parti yang hadir turut bersetuju menubuhkan Sekretariat Muzakarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera.

Menurut beliau, sekretariat itu akan menjadi platform bagi menyediakan ruang perbincangan, perundingan dan dialog terbuka secara berterusan dalam isu-isu berkepentingan bersama yang menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Must Watch Video