Letak jawatan: 'Saya fokus tugas, harap MT UMNO buat keputusan bijak, waras' - Khairy

Fareez Azman
Mac 31, 2021 09:10 MYT
Ahli Parlimen Rembau itu, bagaimanapun berkata kesemua pemimpin UMNO masih terikat dengan pendirian dan keputusan parti itu. - Gambar fail/ Bernama
PUTRAJAYA: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menegaskan akan terus memberi fokus kepada tugasnya dalam kerajaan selagi UMNO belum membuat apa-apa keputusan berhubung peletakan jawatan menteri daripada parti berkenaan.
Ahli Parlimen Rembau itu, berkata kesemua pemimpin UMNO masih terikat dengan pendirian dan keputusan parti itu.
"Pendirian kita terikat kepada keputusan parti (UMNO), selagi parti tidak buat apa-apa keputusan, jadi kita fokus tugas kepada kerajaan.
"Sebab itu kita harap Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan bijak dan waras," jelasnya ketika ditemui di Putrajaya hari ini.
BACA: Menteri-menteri UMNO dinasihat terus kekal dalam kabinet - PM
BACA: Menteri UMNO letak jawatan? Tiada arahan... Kenapa nak berhenti? - Shahidan Kassim
BACA: Presiden, MKT UMNO boleh tentukan bila untuk tarik diri dari PN - Zahid
Sebelum ini, Khairy mencadangkan agar pemilihan parti itu disegerakan dalam usaha menyelesaikan kemelut dalaman UMNO.
Tegasnya, Pemilihan UMNO tidak seharusnya ditangguhkan selepas pilihan raya umum, sebaliknya perlu dilakukan pada tahun ini juga.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungannya sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) berkata, MKT telah menerima mandat untuk menentukan tarikh yang sesuai bagi kesemua pemegang jawatan utama dalam kerajaan daripada UMNO untuk melepaskan kedudukan mereka.
Jelasnya, mandat itu akan digunakan bagi memastikan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, membubarkan Parlimen mengikut tarikh yang sesuai.
#Khairy Jamaluddin #Ahli Parlimen Rembau #letak jawatan #UMNO #Pemilihan UMNO #keputusan #terikat #Zahid Hamidi