PETALING JAYA : Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan tidak timbul isu menteri, timbalan menteri mahupun pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meletakkan jawatan seperti dipolemikkan sesetengah pihak.

Malah ujarnya, tiada arahan diterima untuk pemimpin UMNO yang berjawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk bertindak sebegitu.

"Saya nak tahu arahan siapa, kenapa menteri kita nak berhenti? Sebab benda ini disebut (apabila) pilihan raya (kelak) bukan sekarang, kalau sekarang pasal apa nak berhenti?

"Tidak disuruh berhenti kecuali ada beberapa cabaran sana sini, tetapi tidak ada arahan untuk mereka berhenti. Beberapa suara sahaja, takkan 10 suara pemimpin itu jadi keputusan UMNO," katanya pada sidang media di sini, malam ini.

BACA: Letak jawatan: Sebahagian Menteri, Timbalan Menteri UMNO bertemu PM?

BACA: Jangan tunggu lagi, letak jawatan segera - Tengku Razaleigh

BACA: Menteri, timbalan menteri UMNO kekal jawatan sehingga Ogos - Zahidi


[TERKINI] Sidang Media oleh Datuk Seri Shahidan Kassim

Malah tambah Ahli Parlimen Arau itu lagi, UMNO telah membuat keputusan agar pemimpin parti itu yang berjawatan dalam kerajaan PN terus berkhidmat sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"UMNO dah buat keputusan, menteri akan ada di tempat mereka sehingga pilihan raya.

"Kita ini kadang-kadang melalut... ada pandangan itu, tetapi apa keputusan rakyat? Kena tanyalah negeri-negeri, ini kadang-kadang keputusan (itu) hanya di Kuala Lumpur atau Selangor, tapi Perlis lain," kata Shahidan lagi.

Tegas Shahidan, jika tindakan itu dilakukan oleh pemimpin UMNO yang berjawatan dalam kerajaan PN, ia akan menjejaskan imej parti itu terutamanya dalam kalangan rakyat.

Ia kerana jelasnya, rakyat ketika ini berdepan dengan kesukaran akibat pandemik COVID-19 dan memerlukan bantuan daripada semua pihak terutama kerajaan dan bukannya ketegangan politik yang berlarutan.