PONTIAN: UMNO perlu memberi tumpuan untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terlebih dahulu sebelum membangkitkan mengenai pelantikan Menteri Besar.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pelantikan jawatan tersebut juga adalah berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, yang menetapkan bahawa pelantikan Menteri
Besar tertakluk di bawah bidang kuasa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

“Itu adalah jelas di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan saya rasa itu perlu kita hormati.

“Sebagai kaedah pelantikan, syarat-syarat pelantikan semua terkandung dalam Undang-Undang Tubuh (negeri).

“Saya rasa kita nak menang pilihan raya  dulu baru kita boleh cerita jawatan Menteri Besar atau Exco kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan walkabout di sekitar Benut, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi sedang ‘melobi’ bagi jawatan Menteri Besar Johor.

Wan Saiful dalam kemas kini di laman Facebook mendakwa Mohd Puad telah beberapa minggu giat melobi untuk menjadi Menteri Besar menggantikan Hasni sekiranya UMNO menang.

Bagaimanapun, Mohd Puad seperti dilapor Free Malaysia Today menafikan dakwaan berkenaan.

Bahkan, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit itu juga tidak berminat dengan sebaran jawatan termasuk Exco.

Mengulas mengenai ketetapan parti yang telah memutuskannya sebagai calon Menteri Besar, Hasni
menegaskan, beliau juga perlu memenangi kerusi DUN Benut pada PRN Johor, 12 Mac ini.

“Ya (dicalonkan sebagai Menteri Besar) tetapi saya kena menang dulu walaupun saya sudah diputuskan,” ujarnya lagi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memaklumkan Hasni, yang juga Pengerusi BN Johor akan mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri.