PUTRAJAYA: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menjelaskan beliau tidak tahu menahu mengenai dakwaan wujudnya cubaan dalaman untuk menyingkirkan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Loke menyifatkan dakwaan wujudnya langkah politik dalam DAP yang mahukan Lim Guan Eng kembali menerajui pentadbiran Pulau Pinang hanya khabar angin semata-mata.

Beliau juga menegaskan tidak menerima sebarang memorandum dari mana-mana Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pulau Pinang yang mahu Kon Yeow diganti.

“Saya tidak menerima sebarang gesaan (untuk Lim dilantik semula sebagai ketua menteri), mungkin ia hanya khabar angin.

"Dikatakan ada tiga ADUN (terlibat), tetapi saya tidak menerima sebarang memorandum atau surat daripada mana-mana ADUN (mengenai perkara ini)," katanya kepada media pada Rabu.

Sebelum ini sebuah portal berita mendakwa kononnya terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat Kon Yeow daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas PRN akan datang.

Laporan tersebut mendakwa, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng bakal kembali menerajui kerajaan negeri selepas mendakwa Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.