KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini membatalkan petisyen pilihan raya dikemukakan Barisan Nasional (BN) berhubung keputusan kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu diputuskan Hakim Datuk Amarjeet Singh, yang bertindak selaku Hakim Mahkamah Pilihan Raya, dalam prosiding hari ini, lapor Berita Harian.

Petisyen pilihan raya itu sebelum ini dikemukakan wakil kepada veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, selepas beliau yang juga penyandang kerusi berkenaan sejak 1974 kalah dengan majoriti tipis 163 undi kepada calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Azizi Abu Naim.

Peguam, Yusfarizal Yussoff, yang mewakili Mohd Azizi berkata, hakim membuat keputusan itu selepas mahkamah dimaklumkan bahawa wakil Tengku Razaleigh yang juga pengundi selaku pempetisyen, Mohd Azmi Mahmood, memecat semua peguam termasuk Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Katanya, mahkamah juga dikemukakan surat daripada Azmi kepada firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, bertarikh semalam yang memaklumkan mengenai pemecatan peguam terbabit.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengakui terkejut apabila pempetisyen terbabit memecat barisan peguamnya.

Takiyuddin selaku ketua barisan peguam yang mewakili Mohd Azizi berkata, perkara tersebut hanya diketahui pihaknya pagi tadi semasa mahu mengendalikan kes berkenaan.

"Apabila mahkamah menerima pemakluman ini, mahkamah telah membuat keputusan bahawa barisan peguam (pempetisyen) tidak lagi mempunyai kelayakan mewakili pempetisyen.

"Apabila Mahkamah Pilihan Raya memanggil pempetisyen, dia tidak hadir dan pecat barisan peguam. Atas kapasiti itu pihak kami memohon mahkamah untuk membatalkan petisyen tersebut," katanya semasa sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Selasa.

Menurut beliau, atas permohonan itu mahkamah membatalkan petisyen ke atas Ahli Parlimen Gua Musang pada Selasa.

Ujarnya, disebabkan pembatalan oleh pihak pempetisyen mahkamah telah memberikan kos sebanyak RM80,000 kepada responden.