Antara yang sering menjadi pegangan kepada Barisan Nasional (BN) ialah ‘status quo’ dalam pengagihan kerusi, baik di peringkat Parlimen, mahupun di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun, sejak parti pemerintah itu hilang dua pertiga majoriti, terdapat desakan dari dalam agar konsep ‘status quo’ di sesetengah kerusi, dikaji semula, dan diberikan kepada parti yang lebih layak.

Salah satu kerusi yang dimaksudkan ialah kerusi Parlimen 124 Bandar Tun Razak.

Sejak ia diwujudkan pada tahun 1995, kerusi itu dipegang MCA, sehinggalah dirampas PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, yang ketika itu meletakkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai calonnya.

Pada PPRU seterusnya, Abdul Khalid, menewaskan pencabarnya dari MCA, Tan Kok Eng dengan majoriti yang lebih besar iaitu sebanyak 11,832 undi.

Bagi Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar, kerusi itu sepatutnya menjadi milik parti itu, dan Cheras pula diserahkan kepada MCA.

Namun, katanya lagi, atas percaturan pemimpin ketika itu, kedua-dua kerusi parlimen yang wujud selepas Sungai Besi dipecahkan itu, telah diserahkan kepada MCA.

“Dan pada ketika itu sudah ada bantahan daripada UMNO, tetapi kita tak boleh buat apa atas prinsip setiakawan.

“(PRU) 1995 kita menang, (PRU) 1999 menang, tapi suara orang UMNO makin kuat. Pada (PRU) 2004 menang, tetapi sewaktu PRU 2008 bermula penolakan secara terang terangan yang inginkan calon UMNO.

"Pada 2008 kalah sekitar 2,500 undi, tetapi pada 2013, kalah 11,800 undi,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Rizalman berkata, ini petunjuk yang jelas bahawa sentimen orang Melayu di kawasan itu yang inginkan calon dari UMNO semakin mendesak.

“Kita harapkan agar parti komponen kena berlapang dada. Kalau sebelum ini bagi (kepada MCA) lima penggal, dan kita sokong… apa salahnya kalau rakan komponen bagi peluang kepada UMNO dan mereka pula sokong,” katanya sambil melaung keyakinan dapat merampas semula kerusi itu daripada tangan PKR pada PRU yang bakal menjelang.

PKR kali ini dikatakan akan mencalonkan Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar di kawasan tersebut.

Mengikut Kaji Selidik Universiti Malaya yang diketuai Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, ciri-ciri calon pilihan pengundi Bandar Tun Razak adalah berintegriti dan bebas rasuah, berkarismatik, serta mempunyai pengalaman.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kaum Melayu mencatatkan bilangan pengundi paling tinggi iaitu sebanyak 52.7 peratus, diikuti kaum Cina (39.5%), India (7.2%).