Pas sekali lagi memberi jaminan untuk tidak menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional (BN) jika keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) membawa kepada parlimen tergantung.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan sebarang kenyataan tentang kerajaan campuran dengan BN yang dibuat mana-mana individu termasuk dari dalam parti itu sendiri, tidak mewakili pandangan rasmi parti.

Katanya, setakat ini belum ada perbincangan di mana-mana peringkat parti untuk menubuhkan kerajaan campuran dengan BN atau Pakatan Harapan (PH), sebelum mahupun selepas PRU14.

"Pas mahu mengesahkan sekali lagi bahawa tiada perbincangan pada mana-mana peringkat untuk menubuhkan kerajaan perpaduan sama ada dengan BN atau PH sebelum atau selepas piihan raya umum ke 14," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menjelaskan, Pas akan bertanding pada PRU14 dengan mendapat sokongan Gagasan Sejahtera yang turut dianggotai Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan beberapa badan bukan kerajaan lain.

"PAS mahu mengesahkan akan berdiri dengan prinsip sendiri bersama dengan Gagasan Sejahtera dan sudah bersedia untuk menewaskan BN atau PH di mana-mana kawasan yang mereka tandingi," katanya lagi.

Beberapa pemimpin Pas, antaranya timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pengarah pusat penyelidikan parti Dr Mohd Zuhdi Marzuki tidak menolak kemungkinan parti itu menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan, terutama jika BN atau PH tidak mendapat majoriti mudah untuk berbuat demikian.