Manifesto BN Johor menawarkan bantuan RM500 kepada orang muda Johor berpendapatan RM3,000 dan ke bawah yang ingin melangsungkan perkahwinan kali pertama, kata Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ia merupakan antara pelan untuk Orang muda Johor (OMJ) yang turut meliputi pelbagai bidang antaranya keushawanan, pendidikan dan latihan kemahiran tinggi.

Mohamed Khaled dalam ucapannya turut menggalakkan golongan belia Johor yang merantau ke seluruh dunia mengutip pengalaman dan mencari rakan agar mereka menjadi anak muda yang berfikiran jauh, terbuka dan berpandangan global.

“Kami dari pasukan BN berharap, Orang Muda Johor akan mempertimbangkan dengan sebaik-baiknya pelbagai tawaran menarik ini demi masa depan yang lebih cerah,” katanya.





Antara tawaran BN Johor kepada anak muda adalah:


- Memperkenalkan dasar dan saranan Johor Jobs for Johoreans and other Malaysians.

- Memberikan modal awalan RM2,000 kepada 1,000 OMJ setiap tahun melalui inisiatif Indinomics kepada belia berusia 30 tahun dan ke bawah

- Membangunkan tiga buah Youth Hub di Pasir Gudang, Kulai dan Pontian.

- Melatih 500 OMJ dalam industri fesyen, perfileman dan ekonomi kreatif dan menjadikan Johor sebagai Hab Fesyen Negara.

- Mewujudkan sekolah kepimpinan dan Pentadbiran Awam bagi melahirkan pemimpin pelapis di Johor.

- Mengkhususkan 20,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) kepada OMJ yang disasarkan disiapkan menjelan 2023.

- Pemberian RM10,000 kepada OMJ yang berjaya menyambung pengajian di 20 universiti terbaik di dunia.

- Memastikan setiap OMJ mempunyai satu kemahiran


Tawaran untuk OMJ itu juga turut melibatkan wanita, Orang Kurang Upaya (OKU), dan komuniti FELDA di Johor.

BN Johor turut menyediakan manifesto ini dalam versi aplikasi telefon bimbit dan ia boleh dimuat turun di Google Play yang dinamakan sebagai Johor Hi-5.