KANGAR: Masih ada ruang kerjasama membabitkan UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) meskipun Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus memperkasakan hubungan di dalam Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man berkata, pada masa ini, UMNO hanya menolak kerjasama dengan Bersatu, namun, di peringkat MN, UMNO masih kekal bersama Pas termasuk dalam soal pengagihan kerusi dalam pilihan raya.

"Keputusan yang diambil pada masa kini ialah bagi UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu seperti mana diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO.

"Walau bagaimanapun, kita masih lagi berada di dalam Muafakat Nasional, jadi bermakna di situ masih ada ruang sebenarnya di dalam menentukan apakah akhirnya nanti sebelum PRU15," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-75 RTM di Kangar pada Khamis.

Jelas Azlan, kesepakatan Bersatu dan Pas bertambah kukuh selepas tiga hari UMNO mengumumkan menamatkan kerjasama dengan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Dalam perkembangan terkini, Bersatu dan Pas yang merupakan antara parti pengasas PN bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan peringkat Pusat bagi merangka strategi dan hala tuju gabungan tersebut bagi menghadapi PRU15 termasuk rundingan pengagihan kerusi.

Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Tambah Azlan yang juga Menteri Besar, soal pengagihan kerusi masih belum dimuktamadkan apabila mengambil kira suasana terkini UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu.