Skip to main content

Politik

'Masih sokong Ab Rauf, keputusan kedudukan PH Melaka ditentukan esok' - Adly

Astro AWANI
Adly berkata, sebarang keputusan berkaitan kedudukan PH dalam kerajaan negeri hanya akan diputuskan selepas Mesyuarat Pakatan PH negeri yang dijadual berlangsung esok. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

MELAKA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari menegaskan masih menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh buat masa ini, meskipun empat wakil rakyat DAP menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil berkata, sebarang keputusan berkaitan kedudukan PH dalam kerajaan negeri hanya akan diputuskan selepas Mesyuarat Pakatan PH negeri yang dijadual berlangsung esok.

“Buat masa ni memanglah kita tahu bahawa kita sebagai seorang ADUN... Ketua Menteri kita seorang (sahaja) bukan ada ramai pun... dan kita akan buat apa-apa keputusan tentang lantikan-lantikan politik itu pada esok harilah... Khamis.

“Saya nak letak jawatan apa? Saya tak ada jawatan dalam kerajaan negeri. Jadi ini pun antara perkara yang kita akan bincangkan sebab yang lain itu ada jawatan. Ini yang saya sebutkan, kita akan kemaskan mekanisme itu supaya tidak mengganggu urusan kita dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada masih menyokong kepimpinan Ab Rauf susulan tindakan empat Adun DAP menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, semalam.

Beliau ditemui pada hari ketiga Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri di Ayer Keroh, hari ini.

Adly ketika diminta mengulas adakah beliau senada dengan tindakan empat ADUN DAP menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, berkata setiap parti dalam PH mempunyai hak untuk membuat keputusan masing-masing.

Namun katanya, sebarang pendirian yang dibuat atas nama gabungan perlu diputuskan secara konsensus melalui mekanisme PH. 

“Sebenarnya saya beritahu perkara paling asas adalah tentang penolakan kita kepada pindaan Perlembagaan dan itu tak ada timbul ketidaksepakatan,” tambahnya.

Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, mesyuarat PH Melaka akan mengambil kira pandangan semua ADUN PH, parti-parti komponen serta seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memohon DAP Melaka menangguhkan keputusan berkenaan.

Beliau dalam pada itu turut menyifatkan perpindahan tempat duduk dalam DUN selepas insiden itu telah menimbulkan kekeliruan dan sepatutnya tidak dilakukan.

“Saya lihat di pihak kerajaan negeri pun sepatutnya perpindahan kerusi itu tidak dibuat. Sepatutnya hormati pandangan Perdana Menteri dan saya fikir itu menimbulkan kekeliruan yang besar,” katanya.

Semalam, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dalam sidang medianya memaklumkan PH Melaka menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sebagai bantahan terhadap kelulusan Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang memperkenalkan pelantikan ADUN lantikan.

Keputusan itu menyaksikan wakil PH membabitkan empat ADUN DAP dan seorang wakil Amanah melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri termasuk jawatan Exco, Timbalan Exco, Timbalan Speaker serta lantikan berkaitan pentadbiran negeri.

Bagaimanapun Adly hari ini dilihat tidak berada di kerusi pembangkang dan masih duduk di blok kerajaan negeri.

 

Must Watch Video

Advertisement