SHAH ALAM: Langkah Pas Terengganu melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam pemilihan jawatankuasa masjid dikhuatiri akan menyebabkan perpaduan antara rakyat sukar dicapai.

Ahli Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa, campur tangan politik dalam kalangan pemilihan jawatankuasa masjid akan berlaku sekiranya JPKK terlibat sama.

"Maksudnya jelas supaya parti pemerintah dapat menguasai semua masjid kerana umum mengetahui JPKK adalah dalam kalangan ahli jawatankuasa (AJK) cawangan Pas di kampung-kampung.

“Politik kepartian bakal mewarnai masjid. Perpaduan yang diharapkan akan bertukar menjadi perpecahan dan berlaku nanti AJK yang tak hadir ke masjid,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi mengumumkan langkah melibatkan JPKK itu.

Muhammad Khalil berkata, ia bagi memastikan kelancaran pelantikan jawatankuasa masjid di seluruh kariah berjalan dengan harmoni, telus dan berkesan.


Mohd Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas berpandangan, pemilihan jawatankuasa masjid tidak seharusnya dipengaruhi sokongan politik selain meminta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperhalusi perkara tersebut.

“Pemilihan AJK masjid hendaklah dalam kalangan ahli kariah yang sentiasa memakmurkan masjid tersebut meskipun apa warna baju politiknya.

“Bebaskan masjid daripada campur tangan parti politik,” ujar beliau. - Sinar Harian