Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali hari mencadangkan bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu supaya menyertai DAP daripada menubuhkan parti baru.

Katanya, adalah lebih baik jika Mohamad atau Mat Sabu bersama kumpulan G18 menyertai DAP kerana mereka dilihat banyak mempertahankan parti itu termasuk kerjasama dengan mereka.

"Saya berpendapat lebih baik bagi kumpulan GHB yang diketuai oleh sahabat saya Mat Sabu, lebih baik mereka ini menyertai DAP daripada mewujudkan parti baru.

"Saya berkata demikian sebab isu yang berlaku sebelum ini iaitu dalam PAS, kumpulan G18 ini kumpulan yang nampaknya begitu kuat mempertahankan kerjasama dengan DAP," kata beliau dalam satu sidang media di ibu pejabat Perkasa, pada Jumaat.

Katanya kumpulan tersebut yang terdiri daripada golongan progresif di dalam PAS sering dilihat bercanggah dengan pimpinan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan golongan ulama yang tidak senang hati dengan tahaluf siyasi yang diamalkan di antara PAS dan DAP.

Ujar beliau, jika DAP ingin membuktikan bahawa mereka parti pelbagai kaum yang bukan cauvinis, mereka harus menerima Mat Sabu dan kumpulan serta memberi mereka jawatan-jawatan penting dalam parti itu.

"Daripada dia (Mat Sabu) dituduh menjadi alat DAP, lebih baik dia masuk DAP. Bila dia masuk DAP mungkin dia juga boleh bantu bantu dari segi agenda perjuangan untuk kepentingan kaum Melayu dan Islam sendiri... dan DAP kena buka laluan.

"DAP pula kalau dia betul parti pelbagai kaum, mereka kena berkongsi la. Jika Mat Sabu dan gengnya masuk, jawatan-jawatan penting boleh la diisi oleh mereka," kata Ibrahim.

Selain itu, katanya DAP sejak akhir-akhir ini juga dilihat menerima tokoh seperti Sasterawan Negara, A. Samad Said serta golongan-golongan muda Melayu bagi meyakinkan rakyat tentang perjuangan pelbagai kaum mereka.

Pada 13 Julai lalu, pemimpin progresif dalam parti PAS yang kalah semasa pemilihan parti baru-baru ini telah mengumumkan penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Mat Sabu selaku pengerusinya berkata, GHB yang akan didaftarkan menjadi sebuah parti politik itu dilihat sebagai satu platform untuk menggerakkan semula kerjasama parti politik di pihak pembangkang.

Tambahnya, parti itu tidak menolak matlamat penubuhannya sebagai sebuah parti politik yang terbuka kepada semua kaum.