SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri itu untuk tidak menggunakan kenderaan rasmi mereka ketika menghadiri program politik.

Beliau berkata ini susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang berkuat kuasa hari ini, selain memaklumkan kesemua kenderaan rasmi kerajaan negeri itu akan diserah sehari sebelum hari penamaan calon.

"Kita akan mula hentikan penggunaan kenderaan rasmi sehari sebelum hari penamaan calon, kerana sebaik pembubaran DUN hari ini, masih ada program rasmi yang perlu dihadiri exco-exco termasuk mesyuarat tertentu," katanya kepada media di sini, hari ini.

"Saya telah mengeluarkan arahan supaya exco-exco tidak membawa kenderaan rasmi mereka, walaupun tidak salah, ketika program politik sepanjang sebelum hari penamaan.

"Jadi kalau boleh, mereka kena elak untuk menggunakan kenderaan itu kerana ia tidak membawa imej yang baik dan bagi menjamin tata kelola yang betul," katanya.

Terdahulu, Amirudin menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Menteri Besar bersama Penjawat Awam dan Pemimpin Masyarakat negeri, di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah.

Pada majlis yang sama, Amirudin turut menyaksikan penyerahan watikah pembubaran DUN oleh Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor Shafie Taib.

Penyerahan notis dibuat selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN pada Isnin lepas, sekali gus membuka jalan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

-- BERNAMA