SEREMBAN: Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata parti itu kini dalam proses peremajaan untuk terus kekal relevan dan kompetitif dalam pentas politik negara.

Beliau berkata MCA perlu berusaha menarik lebih ramai penyertaan generasi muda seawal usia 18 tahun kerana hampir 90 peratus ahli parti itu kini berumur 40 tahun ke atas.

"Ahli kita semakin berumur, jumlah mereka yang berusia 40 tahun ke atas mencecah kira-kira 90 peratus jadi saya rasa kita perlu meremajakan parti dan menarik lebih ramai penyertaan generasi muda ke dalam MCA serta memahami masalah mereka," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Negeri Sembilan di sini hari ini.

Wee berkata bagi tujuan itu, kepimpinan parti perlu menggunakan pelbagai platform untuk menarik penyertaan golongan muda seperti melalui program kemasyarakatan dan kerja amal.

Beliau berkata paling penting MCA harus memiliki bakat baharu yang petah berucap dan berpengetahuan luas untuk membidas pandangan salah sesetengah pihak terhadap parti itu.

"Kita perlu bakat baharu yang petah berbahasa, mempunyai ilmu dan membidas bagi menangkis segala persepsi yang salah, itu yang paling penting... kerana kualiti pemimpin seperti ini dapat meyakinkan masyarakat," katanya

Wee juga berkata walaupun MCA membuat keputusan untuk tidak menyertai pilihan raya negeri (PRN) di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Kedah dan Terengganu pada 12 Ogos ini namun semua ahli parti diminta memberikan sokongan dan kerjasama kepada calon Barisan Nasional.

Beliau berkata keputusan parti itu untuk tidak bertanding pada PRN kali ini adalah bagi memberi tumpuan kepada persiapan MCA menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.

-- BERNAMA