KUALA LUMPUR: Semua ahli politik disarankan lebih memberi tumpuan kepada masalah yang dihadapi rakyat ketika negara sedang berdepan pandemik COVID-19 berbanding kepentingan peribadi.

Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Azhar Ahmad menjelaskan selain menumpukan terhadap masalah rakyat, ahli politik juga perlu taat dan patuh kepada Yang di-Pertuan Agong.

Azhar menjelaskan, semua Ahli Parlimen UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan perlu membuktikan bahawa pemimpin parti itu berkhidmat untuk rakyat

"Jadi, apa yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tempoh yang ada sekarang kalau mereka (menteri dari UMNO) yang masih menteri, masih belum letak jawatan, masih kekal dalam kerajaan yang ada ini, mereka harus bekerja kuat untuk rakyat bukan untuk peribadi.

"Mereka perlu menampakkan bahawa mereka itu mewakili parti, jadi dengan cara itu barulah rakyat tahu menteri UMNO bekerja kuat untuk rakyat.

"Dan yang paling penting adalah, mereka juga perlu patuh dan setia kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada Astro AWANI.

Azhar juga menjelaskan, buat masa ini beliau melihat kepada sumbangan yang boleh diberikan oleh mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan ketika pandemik COVID-19 ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pergolakan dalaman yang melanda UMNO mutakhir ini ekoran perbezaan pandangan pemimpin parti itu tentang keperluan untuk kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya.

Pada 3 Ogos lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang dikatakan sebulat suara bersetuju menarik sokongan terhadap PN.

Namun, terdapat kumpulan yang menyanggah kenyataan Ahmad Zahid itu dan mendakwa ramai Ahli Parlimen UMNO yang masih menyokong PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.