Mesyuarat Khas MKT bincang usul dikemuka sayap parti – Asyraf Wajdi

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO, malam tadi. Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan (kiri) dan Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi menerima dan mendengar laporan daripada wakil-wakil MKT ke Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri parti itu yang berlangsung siang semalam.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, segala usul yang dibangkitkan perwakilan ketiga-tiga sayap berkenaan turut dibincangkan pada mesyuarat khas tersebut.
"Satu lagi agenda yang penting adalah kita bincangkan tentang usul ucapan dasar Presiden UMNO yang akan dibentangkan esok (Jumaat)," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat berkenaan di ibu pejabat parti itu, di sini, malam tadi.
Terdahulu mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri pemimpin kanan parti itu termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ahmad Zahid dijadual menyampaikan ucapan dasar Presiden hari ini.
Perhimpunan Agung UMNO 2025 berlangsung dari 14 hingga 17 Jan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November bagi memberi laluan kepada persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Sebanyak 6,412 perwakilan dari seluruh negara telah mendaftar melibatkan 2,928 orang bagi Perhimpunan Agung UMNO 2025, Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita (1,165 orang), Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda (1,173 orang) dan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri (1,146 orang).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


