POLITIK
Mohamad Hasan sedia pertahan kerusi DUN Rantau

Mohamad diwakili lima peguam diketuai oleh Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala Dr Streram diwakili empat peguam diketuai Mohamed Haniff Khatri Abdulla. - Gambar fail
Datuk Seri Mohamad Hasan berhasrat untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau (N27) meskipun Mahkamah Khas Pilihan Raya hari ini memutuskan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu adalah tidak sah dan terbatal.
Menurut Mohamad Hasan, beliau menerima segala keputusan mahkamah dan akan berbincang dengan pihak peguamnya sama ada rayuan akan dibuat atau tidak.
“Kita menghormati keputusan mahkamah hari ini yang dibuat oleh pihak hakim yang bijaksana, ini merupakan proses rayuan daripada pihak pempetisyen jadi saya akan berbincang dengan pihak peguam saya sama ada rayuan akan dibuat di peringkat mahkamah yang lebih tinggi,” kata Mohamad.
Sehubungan itu, Hakim Datuk Azimah Omar mengarahkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan selepas kerusi DUN berkenaan dimenangi Mohamad Hasan tanpa bertanding pada 28 April lalu.
Azimah dalam penghakimannya berata, tidak wujud sebarang undang-undang pilihan raya yang menyatakan tag atar pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan.
"Untuk mempertahankan jawatan sepatutnya saya bertandinglah, tapi terpulang kepada pucuk pimpinan dan parti untuk memastikan siapa calon yang sebaiknya untuk bertanding atau pun tidak pada PRK nanti," kata Mohamad.
Dalam pada itu, S.Streram ketika ditemui berkata beliau merasa gembira dengan keputusan mahkamah dan bersedia untuk calon PKR bagi PRK N27 DUN Rantau ini.
Dalam petisyennya, beliau menamakan Mohamad sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus sebagai responden kedua dan SPR responden ketiga.
Sementara itu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahidi dalam Twitternya hari ini menegaskan keputusan mahkamah untuk PRK DUN Rantau sudah dijangkakan.
Beliau berkata, UMNO akan mencalonkan semula Mohamad dan jentera BN akan digerakkan sepenuhnya meskipun banyak kekangan dan halangan untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami