KOTA KINABALU: Datuk Mohamaddin Ketapi kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, kata Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.

Beliau berkata, DUN Segama tidak dikosongkan walaupun Mohamaddin mengumumkan keluar Parti Warisan (Warisan) pada 30 Oktober lalu.

Jelasnya, 30 Oktober lalu, beliau telah menerima surat dan dokumen yang membatalkan segala Aku Janji yang beliau tandatangani dengan Warisan sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) lalu.

"Pada 1 November lalu, pejabat saya telah menerima satu surat dari sebuah firma guaman yang mengakui telah bertindak bagi pihak ADUN Segama, yang mana kandungan surat tu ialah beliau meletakkan jawatannya sebagai ADUN Segama.

BACA: Mohamaddin Ketapi tinggalkan Warisan, jadi wakil rakyat bebas mesra kerajaan

BACA: Keluar Warisan: 'Saya tak dibeli' - Mohamaddin Ketapi

"Kemudian pada 2 November, pejabat saya telah menerima satu surat dan akuan berkanun menafikan bahawa beliau (Mohamaddin) telah menandatangan surat peletakan jawatan yang dikemukakan pada 30 Oktober. 

"Mohamaddin juga menafikan telah melantik syarikat guaman tersebut untuk mengemukakan surat peletakan jawatan itu bagi pihaknya," katanya dalam satu sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Rabu.

Kadzim berkata beliau sendiri berpeluang bertemu Mohamaddin secara bersemuka pada Selasa.

"Dalam perjumpaan itu, Mohamaddin mengatakan tidak pernah menandatangani surat peletakan jawatan pada 30 Oktober. Tidak ada sebab kenapa Mohamaddin mahu meletakkan jawatan dan selepas itu mengumumkan keluar parti," katanya.


Keluar Parti | Saya tak dibeli - Mohamaddin Ketapi

Terdahulu, Mohamaddin telah mengumumkan keputusan beliau untuk menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Untuk rekod, beliau merupakan ADUN ketiga yang bertindak keluar Parti Warisan, selepas ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir dan ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yacob.


Keluar Parti | Mohamaddin Ketapi tinggalkan Warisan