KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertemu dengan pihak Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) Isnin ini berhubung pindaan perlembagaan parti itu.

Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada 2 Mac lepas meluluskan pindaan berhubung pelucutan keahlian bagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong pihak bertentangan dengan parti itu.

Muhyiddin berkata beliau berharap pihak RoS dapat memberi pertimbangan yang adil dan kelulusan secepat mungkin.

"Kita sudah dapat ketentuan daripada Pendaftar Pertubuhan hari Isnin. Saya sendiri bersama beberapa pimpinan tertinggi akan membawa keputusan yang telah dibuat dalam Perhimpunan Agung Khas dan pindaan perlembagaan itu," katanya pada sidang media selepas Konvensyen Wakil Rakyat Perikatan Nasional (PN) 2024 di sini hari ini.

Pindaan itu melibatkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

Fasal 10.4 memperuntuk mana-mana ahli Bersatu yang merupakan wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Negeri yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi selari dengan Fasal 10.5 disifatkan terhenti keahliannya daripada parti itu secara serta-merta.

Perkara 10.5 pula menyatakan Majlis Pimpinan Tertinggi boleh mengeluarkan arahan khusus kepada mana-mana atau semua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat atau DUN atau Dewan Negeri dan ia hendaklah dibuat secara bertulis.

Perkara 10.6 merujuk kepada Fasal 10.4 iaitu Setiausaha Agung, atas arahan Majlis Pimpinan Tertinggi, hendaklah mengeluarkan notis kepada ahli berkenaan yang memaklumkan bahawa keahlian beliau telah terhenti secara serta-merta dan namanya dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian parti.

Pindaan itu dibuat selepas enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Khamis lepas, seorang ADUN parti itu Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi PN, berkata sebanyak 20 resolusi telah dimuktamad dalam Konvensyen Wakil Rakyat gabungan itu yang berlangsung sehari di sini.

Beliau berkata antaranya ialah memperkukuh ekosistem pendidikan, memperkasakan perlindungan sosial, memperkukuh perpaduan dalam kalangan parti anggota PN serta memperkasakan penyusunan strategi dan gerak kerja parti.

"Di dalam konvensyen ini, banyak perkara dapat kita bincang secara lebih mendalam dan menyentuh semua aspek berkaitan parti, pentabiran kerajaan, peranan wakil rakyat dari peringkat Parlimen hingga DUN dan Dewan Negara.

"Ramai yang mengambil bahagian. Kita yakin konvensyen ini dapat memperkukuh kerjasama kita dalam PN dan apa yang kita putuskan dalam resolusi pada hari ini akan diiktiraf sebagai asas serta teras dalam PN," katanya.

Konvensyen itu disertai anggota PN yang merangkumi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara dan ADUN.

-- BERNAMA