KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sebanyak RM500 juta telah dibelanjakan bagi tujuan kontrak publisiti dan pengiklanan oleh Perdana Menteri terdahulu, adalah tidak benar, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Pagoh yang menjawat jawatan Perdana Menteri antara 2020 hingga 2021 itu menyifatkan kenyataan Anwar sebagai satu pembohongan, kerana bercanggah dengan jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali pada Februari lepas.

Muhyiddin berkata, jawapan Armizan sendiri menyatakan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional hanya membelanjakan RM181,752.20 untuk penjenamaan.


“Sedangkan Kerajaan Madani pimpinan Anwar yang tidak sampai setahun memerintah pada ketika itu berbelanja sebanyak RM489,216. Jawapan bertulis itu juga menyebut Kerajaan Keluarga Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM62 juta bagi tujuan yang sama.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menjelaskan hanya satu program sahaja dilaksanakan semasa pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional memandangkan negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu,” kata Muhyiddin dalam catatan terbaharu di Facebooknya hari ini.

Sewaktu menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Selasa, Anwar berkata, Kerajaan telah membelanjakan RM700 juta sejak 2020 hingga 2022 untuk promosi, iklan dan publisiti untuk kerajaan.

Beliau memaklumkan lebih RM500 juta dibelanjakan semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, selebihnya di bawah zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob namun tidak dibelanjakan sepenuhnya.


'Kerajaan' Muhyiddin belanja lebih RM500 juta untuk promosi, iklan - PM Anwar


Anwar berkata, apabila beliau menjadi Perdana Menteri, beliau memutuskan untuk menghabiskan segala kontrak yang ditandatangani oleh Ismail Sabri, dan mengurangkan peruntukan bagi tujuan tersebut kepada RM100 juta bagi tahun 2024.

“Saya telah mengarahkan perbelanjaan mulai tahun depan, kerana tahun ini saya hanya mengambil kontrak sedia ada, meneruskan kontrak dipersetujui oleh Bera, bermakna tahun 2023 tiada peruntukan (baharu). Untuk 2024, saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan tidak meluluskan lebih daripada RM100 juta,” katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, sewaktu Dewan Rakyat bersidang pada 25 Mei 2023, Armizan telah memaklumkan tentang perbelanjaan terkini bagi program Malaysia Madani termasuk pengiklanan dan promosi iaitu sebanyak RM7.4 juta.  

“Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pecahan perbelanjaan yang telah dibelanjakan sehingga kini bagi tujuan promosi dan pengiklanan jenama Malaysia Madani di seluruh negara.

“Kenyataan ini dibuat sendiri oleh Menteri Kerajaan Madani di Parlimen. Nampaknya, Anwar membuat kenyataan yang tidak munasabah dan bercanggah dengan kenyataan oleh Menteri di Parlimen,” katanya lagi.

Muhyiddin selanjutnya berkata, perbelanjaan di zaman beliau ditumpukan pesanan-pesanan mengenai bahaya COVID-19, maklumat berkaitan Pakej Rangsangan Ekonomi dan bantuan untuk rakyat.

“Walaupun pada awal tahun ini iaitu 29 April lalu, Anwar berjanji “tidak akan membazirkan wang negara” dengan memasang papan iklan besar namun lihatlah hari ini, billboard gergasi Madani terpampang di merata-rata tempat, di mana-mana sahaja.

“Justeru kenyataan Anwar yang memetik sejumlah angka sebegitu besar kononnya dibelanjakan oleh Kerajaan pimpinan saya untuk tujuan promosi adalah satu tuduhan liar bagi memburuk-burukkan imej Perikatan Nasional di mata rakyat,” katanya lagi.