KUALA LUMPUR: Pelbagai tindakan yang diputuskan oleh kerajaan mempunyai risiko perundangan yang besar jika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bertindak segera meletakan jawatan, kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut beliau, ini kerana Muhyiddin telah nyata hilang keabsahan dan kelayakan sebagai Perdana Menteri setelah hilang sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

“Semua keputusan Eksekutif tersebut boleh dicabar keabsahan serta keperlembagaannya.

“Ini meletakkan Kerajaan dalam kedudukan terdedah kepada pelbagai pertikaian undang-undang dan risiko kerugian kewangan.

“Bagi mengelakkan negara terus berada dalam kancah kecelaruan Perlembagaan sebegini, wajarlah pihak Eksekutif tampil dan melakukan tindakan yang benar dan berpelembagaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Mohamad, kerajaan seharusnya memudahkan Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas Perlembagaan baginda dan bukan bertindak sebaliknya.

“Tiada yang lebih penting kepada seorang Perdana Menteri selain melaksanakan tanggungjawabnya selari dengan batas dan mandat yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

“Perdana Menteri waktu ini nampaknya bersendirian mempertahankan kedudukan yang tidak boleh dipertahankan lagi. Beliau seharusnya tahu bahawa Perlembagaan ‘is non-negotiable’,” tegasnya.

Malah, katanya dakwaan masih mempunyai majoriti oleh Perdana Menteri adalah tindakan yang tidak berperlembagaan, apatah lagi apabila sengaja menunda pengesahannya di Parlimen tanpa alasan yang wajar.

BACA: Kerjasama rentas parti untuk kestabilan sebelum PRU15

Terdahulu, ketika menyampaikan Perutusan Khas pada Jumaat, Muhyiddin memberi tujuh tawaran kepada pemimpin parti pembangkang untuk mendapatkan persetujuan bipartisan.

Antara tujuh tawaran tersebut ialah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat, peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti dan pelaksanaan Undi 18 tanpa perlu menunggu pendaftaran automatik.