KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli menyanggah kenyataan yang dibuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa gabungan tersebut mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) demi masa depan negara.

Mohd Rafizi mendakwa, Muhyiddin beriya-iya mahu kerjasama dilakukan antara PN dengan PH semata-mata demi kepentingan peribadi dan kuasa.

Beliau juga menegaskan keputusan Majlis Presiden PH yang menoktahkan sebarang perbincangan dengan PN adalah rasmi dan muktamad.

"Keputusannya ialah PH akan menguatkan gabungan ini dan masuk PRU15 sebagai PH. Noktah.

"Kalau ada satu dua orang pimpinan dari parti-parti dalam PH yang masih mahu berbincang dengan PN, itu pandangan peribadi mereka. Kalau Muhyiddin yakin akan ada Azmin kedua dalam PH, itu juga hak beliau.

"Sebarang pandangan peribadi mana-mana pemimpin dalam parti-parti PH tidak akan mengikat keputusan bersama Majlis Presiden PH yang telah memberikan noktah kepada PN," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas Rafizi, rasional utama keputusan untuk tidak bekerjasama dengan PN dibuat kerana gabungan itu mahu bekerjasama dengan PH semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan dan jawatan yang diperolehi hasil mengkhianati mandat rakyat pada PRU14.

Sebelum ini Muhyiddin dilaporkan berkata saranan beliau agar parti pembangkang mempertimbangkan untuk membuka semula pintu rundingan dengan PN adalah untuk masa depan negara serta rakyat, dan bukannya untuk kepentingan parti.

Bekas perdana menteri itu berkata saranan itu bertujuan melindungi negara daripada terus terjerumus dengan kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa.