IPOH: Naib Presiden Amanah Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menafikan adanya perpecahan dalam parti itu susulan desas-desus pertukaran pucuk kepimpinan pada Pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah sesi 2023-2026 yang akan diadakan pada 23 Dis ini.

Beliau berkata isu perpecahan tidak timbul berikutan kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk Presiden ditentukan secara konsensus oleh 27 pimpinan tertinggi yang akan dipilih oleh perwakilan.

"Tiada isu mengenainya (perpecahan) kerana dalam kalangan 27 yang dipilih itu nanti yang akan memilih siapa yang layak untuk jadi Presiden. Jadi tak ada yang peliklah kalau hendak melantik Presiden dalam kalangan 27 orang itu, mengikut merit," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Perak 2023 di sini hari ini.

Turut hadir pada konvensyen itu ialah Pengerusi Amanah negeri Datuk Asmuni Awi, Pengerusi PKR Perak Chang Lih Kang, Bendahari DAP Perak Howard Lee Chuan How dan Setiausaha UMNO Perak Datuk Aminuddin Md Hanafiah.

Pada 5 Dis lepas, terdapat satu laporan media menyatakan seorang pemimpin utama Amanah tidak menafikan terdapat kelompok tertentu sedang mengatur gerakan menukar kepimpinan sedia ada dengan teraju baharu pada pemilihan parti akan datang.

Sementara itu, Mujahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri Perak berkata satu konvensyen membabitkan keseluruhan jentera Kerajaan Perpaduan akan diadakan pada 28 Dis ini dan perincian mengenai intipati serta lokasi penganjuran konvensyen itu akan diumumkan kelak.

-- BERNAMA