KOTA BHARU: Perjudian tidak seharusnya dianggap sebagai hak masyarakat bukan Islam kerana kegiatan itu membawa kemudaratan kepada seluruh lapisan masyarakat.
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Kumaresan Baby Kalidawson berkata, akses kepada perjudian kini semakin luas dan tidak lagi terhad kepada premis atau kaunter nombor ramalan.
Menurutnya, kegiatan itu turut melibatkan mesin permainan serta perjudian dalam talian yang mudah diakses pada bila-bila masa menerusi telefon bimbit.
“Perjudian bukan sekadar kerugian, ia memberi kesan besar kepada institusi keluarga, masalah hutang dan kesejahteraan masyarakat.
“Judi bukan hak bukan Islam. Judi adalah virus kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Muktamar Tahunan PAS ke-72 di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan meningkatkan usaha mengawal, mendidik dan melindungi masyarakat daripada ancaman perjudian.
Dalam pada itu, DHPP mencadangkan kerajaan negeri SG4 yang terdiri daripada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis memperkenalkan pelan tindakan khusus bagi memastikan masyarakat bukan Islam turut menikmati manfaat pembangunan.
Kumaresan berkata, pelan tindakan keterangkuman itu perlu berorientasikan hasil, bukan sekadar menjadi satu lagi pelan induk yang hanya kelihatan baik di atas kertas.
“Kita memerlukan pelaksanaan yang mempunyai sasaran, pemilikan tanggungjawab, tempoh penyelesaian dan mekanisme pemantauan,” katanya.
Menurutnya, setiap daerah di empat negeri berkenaan perlu mengenal pasti isu dokumentasi yang belum diselesaikan, graduan menganggur atau bekerja di bawah kelayakan serta keluarga yang masih belum menerima manfaat pembangunan.
Katanya, perhatian juga perlu diberikan kepada belia yang memerlukan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain peniaga kecil yang memerlukan modal serta akses pasaran.
“Tiada individu yang mempunyai tuntutan sah harus kehilangan masa depan. Setiap graduan bukan Islam yang berkelayakan mesti mendapat peluang yang adil,” katanya lagi.