Pergerakan Puteri UMNO meminta pucuk pimpinan parti segera melaksanakan pendaftaran automatik parti ke sayap tertentu mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, pendaftaran keahlian UMNO juga harus diserap terus menjadi ahli bagi setiap sayap mengikut jantina dan umur.

"Kita mahu mahu wanita berumur 35 tahun ke bawah terus diserap masuk menjadi ahli Puteri UMNO manakala untuk wanita berumur lebih 35 tahun secara automatik menjadi ahli Wanita.

"Ia bakal membantu setiap pergerakan menambah bilangan ahli dan membantu melicinkan gerak kerja setiap sayap bagi tujuan memantapkan parti," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Pada Perhimpunan Agung UMNO lepas, Mas Ermieyati meminta Puteri UMNO diberikan keahlian automatik untuk menyertai Pergerakan Wanita UMNO dan bukan lagi pilihan salah satu daripada dua sayap itu.

Mas Ermieyati juga, ketika itu, mahu ahli-ahli Puteri memperbaik persepsi kononnya sayap pergerakan itu hanya sekadar penyeri majlis, sebaliknya berusaha menunjukkan kesungguhan kerja supaya diberikan lebih banyak ruang dan peluang di dalam parti.

Dalam pada itu, jelasnya, kempen keahlian Puteri dan daftar pemilih yang dilaksanakan pada bulan lepas berjaya mendapat 5,142 ahli baharu dan 2,495 lagi untuk daftar pemilih pilihan raya di seluruh negara.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Mas Ermieyati turut menggesa majikan swasta menyediakan taman asuhan kanak-kanak atau taska di tempat kerja masing-masing.

"Ia satu keutamaan kepada majikan berkenaan demi memenuhi hak dan kebajikan kepada pekerja wanita mereka sendiri.

"Majikan sendiri sebenarnya tiada alasan untuk tidak berbuat demikian memandangkan kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memberi galakan kepada majikan berkenaan menyediakan kemudahan itu," ujarnya.

Tegasnya, inisiatif yang diumum kerajaan sebelum ini sepatutnya digarap sekali gus dipandang sebagai langkah positif untuk meningkatkan produktiviti syarikat.

"Ia turut mampu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan risiko pengabaian terhadap anak-anak.

"Majikan harus gunakan semua inisiatif yang ada termasuklah pengecualian cukai 10 peratus setahun bagi majikan di sektor swasta ke atas kos keseluruhan pembinaan taska di tempat kerja bagi tempoh 10 tahun dan subsidi Kursus Asuhan Permata sebanyak RM500 bagi seorang pengasuh.

"Selain itu ada juga inisiatif pemotongan cukai sebanyak dua kali ke atas elaun atau subsidi yang diberikan kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska," katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati turut menekankan isu golongan wanita muda bekerjaya selain pada masa sama mengakui harus mengutamakan isu kekeluargaan.

"Kerana itu, Puteri rasa perlu penyediaan pusat taska atau pusat transit untuk penjagaan kanak-kanak di tempat kerja supaya tidak akan berlaku kes pengabaian terhadap anak-anak," katanya.

Pada Khamis, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengesan trend membimbangkan dalam kalangan wanita bekerjaya iaitu meninggalkan anak-anak berusia enam tahun ke atas bersendirian di rumah tanpa pengawasan orang dewasa.

Berdasarkan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) yang dijalankan pada September hingga Disember tahun lalu, sebanyak 16.7 peratus wanita bekerja melakukan perkara tersebut.