KUALA LUMPUR :Mungkin sudah sampai masanya untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri dari kalangan pemimpin UMNO.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, mungkin dengan pelantikan itu, ia sedikit sebanyak dapat meredakan tekanan dan kritikan daripada pemimpin kanan UMNO.

“Saya beranggapan Perdana Menteri perlu lihat dan kaji perkara ini dan mungkin mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri yang kosong dan diberikan seboleh-bolehnya kepada pemimpin UMNO sendiri.

“Mungkin dengan mengisi jawatan itu, maka tekanan daripada UMNO akan berkurang kerana mungkin dengan adanya jawatan kedua tertinggi itu, secara tak langsung ia beri pengiktirafan kepada sumbangan UMNO dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada Astro AWANI.

BACA: Konflik UMNO kerana dendam tidak dapat jawatan - Penganalisis

Tambahnya, kritikan yang datang tanpa henti sekarang kebanyakan daripada pemimpin UMNO yang tidak berpuas hati kerana banyak jawatan kanan dalam kerajaan kini banyak diberikan kepada pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

BACA: UMNO harus akui hakikat perlu bekerjasama - Penganalisis

“Ada yang beranggapan bahawa jawatan Kabinet termasuklah jawatan Timbalan Perdana Menteri merupakan kuasa mutlak Perdana Menteri Sendiri.

“Namun, berdasarkan kepada tekanan yang diberikan kepimpinan UMNO, mungkin sekiranya jawatan ini diberikan, ia juga boleh memperkuatkan PN untuk menghadapi PRU15 nanti,” ujarnya.


MT UMNO | Usul UMNO bahagian dibawa ke Perhimpunan Agung

Astro AWANI pada Khamis melaporkan UMNO bertindak drastik untuk membawa usul memutuskan hubungan dengan Bersatu kerana bimbang Bersatu akan meluaskan pengaruhnya.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Pawi berpendapat UMNO mengambil pendekatan sedemikian supaya parti tersebut dapat mendapat semula kekuatannya dan menguasai politik arus perdana.


UMNO bimbang Bersatu akan meluaskan pengaruh - Penganalisis

“Saya lihat sekiranya UMNO tidak membuat keputusan yang drastik, saya kira ia akan memberikan ruang kepada Bersatu untuk lebih berkembang.

“Dari segi persaingan politik, kami dapat melihat menerusi pengumuman oleh Setiausaha Agung Bersatu sendiri mengenai pembukaan ribuan cawangan dalam masa terdekat.

“Ini pasti akan mencemaskan UMNO dan sekiranya dibiarkan berterusan, maka terdapat pelbagai usaha (daripada Bersatu) untuk menarik penyokong UMNO ke parti itu dan pelbagai taktik lain akan digunakan,” kata Dr Awang Azman dalam temu bual bersama Buletin AWANI pada Khamis.