Skip to main content

Politik

Mustapha Sakmud dilantik Pengerusi PH Sabah baharu

KOTA KINABALU, 14 Feb -- Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapha Sakmudk menyampaikan ucapan pada Seminar Kenegaraan Malaysia Madani di Ming Garden Kota Kinabalu hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mustapha yang mengesahkan pelantikannya berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat pemimpin parti komponen PH negeri itu bagi mengisi jawatan yang kosong. - Gambar fail/Bernama

KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baharu.

Mustapha yang mengesahkan pelantikannya berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat pemimpin parti komponen PH negeri itu bagi mengisi jawatan yang kosong setelah Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) keluar daripada gabungan berkenaan pada November tahun lepas.

Advertisement

“Setelah berbincang, mesyuarat bersetuju melantik saya sebagai Pengerusi PH Sabah yang baharu bagi mengisi jawatan yang kosong.

“Turut dilantik ialah Abdul Razak Jamil sebagai Setiausaha Agung dan Zaidi Jatil daripada PKR sebagai Ketua Pemuda. Datuk Phoong Jin Zhe kekal sebagai Timbalan Pengerusi, Datuk Chan Fong Hin sebagai Bendahari, dan Datuk Jannie Lasimbang Ketua Wanita PH Sabah,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di sini hari ini.

Sebelum ini, Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick memegang Pengerusi PH Sabah, namun jawatan itu kosong selepas parti berkenaan memutuskan keluar daripada gabungan tersebut, yang turut dianggotai DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata mesyuarat itu turut membincangkan hala tuju PH Sabah, termasuk memberi tumpuan kepada isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita akan membawa isu penting berkaitan MA63, khususnya tuntutan 40 peratus hasil Sabah,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video