KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pekan tidak perlu diadakan sekiranya Datuk Seri Najib Razak sah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi berkata, PRK di Parlimen Pekan tidak perlu diadakan kerana kekosongan berkenaan berlaku kurang dua tahun sebelum tempoh Parlimen perlu dibubarkan.

Beliau berkata, status bekas Perdana Menteri itu sebagai Ahli Parlimen Pekan akan ditentukan dalam tempoh 14 hari selepas hukuman dijatuhkan susulan kegagalan beliau dalam rayuan akhir berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd. semalam.

"Pengosongan kerusi tidak serta-merta, tetapi selepas 14 hari. Dalam tempoh itu, Najib masih boleh membuat permohonan untuk mendapatkan pengampunan diraja.

"Selepas tempoh itu, jika Parlimen dimaklumkan bahawa Najib telah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, maka kerusinya akan dikosongkan.

"Namun, mengikut Perlembagaan juga, tiada keperluan untuk PRK dilaksanakan kerana tempoh kekosongan kurang dua tahun daripada pembubaran Parlimen," katanya seperti dilapor BH Online.

[LAPOR LANGSUNG] Kes SRC: Mahkamah kekal sabitan dan hukuman, Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat perlu diisi menerusi pilihan raya dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan luar jangka itu berlaku.

Bagaimanapun, jika kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat itu berlaku dalam tempoh dua tahun dari tarikh Parlimen terbubar, kekosongan itu tidak boleh diisi, melainkan bilangan parti yang membentuk majoriti di Dewan Rakyat terjejas akibat kekosongan berkenaan.

Wan Junaidi juga memaklumkan sekiranya tiada sebarang proses lanjut daripada Najib, sama ada semakan atau permohonan pengampunan diraja, bekas Perdana Menteri itu juga secara rasmi tidak layak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).



"Jika tiada pengampunan, ertinya beliau akan berada dalam penjara. Sebagai individu yang didapati bersalah oleh mahkamah, beliau secara automatik tidak lagi layak bertanding dalam pilihan raya," katanya.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.