KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengumumkan kembali sokongan beliau kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Ahli Parlimen Padang Rengas itu, pengisytiharan terbaharu itu sekali gus membatalkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin yang dibuatnya pada Januari lepas.

Katanya, beliau membuat keputusan kembali menyokong Muhyiddin kerana mengikut keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang hanya akan memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Parlimen dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.

“Januari lalu saya membuat pengumuman menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin. Hari ini saya nak umumkan saya kembali memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin.

“Dengan keputusan ini, penarikan sokongan yang saya buat sebelum ini terbatal,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Jumaat menerusi telefon.

Nazri merupakan antara ahli politik yang lantang mengkritik kepimpinan parti UMNO dan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

Sebelum ini, beliau mengakui menjadi perancang utama dalam mengumpul akuan bersumpah (SD) di kalangan Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi menyokong Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Tegas Mohamed Nazri, tindakan itu adalah bagi memberi mandat kepada Menteri Luar itu untuk menjadi jurucakap kepada kesemua 25 wakil rakyat BN sekiranya dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Nazri juga pernah mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai.

Pada awal tahun, Nazri mendakwa beliau ditipu oleh Zahid sehingga membuat keputusan untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

"Saya tarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin pada 12 Januari lalu kerana ditipu oleh Zahid yang merancang untuk menjatuhkan kerajaan.

"Zahid rancang, Ahli Parlimen UMNO yang tidak pegang jawatan dalam kerajaan tarik sokongan one by one, hingga kerajaan ini jatuh.

"Sebagai tanda setiakawan dan percaya kepada beliau, saya menarik sokongan selepas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob membuat keputusan yang sama.

"Selepas saya dan Jazlan, tiada siapa yang umum tarik sokongan termasuklah Zahid. Sebagai presiden parti yang merancang semuanya, sepatutnya dia yang pertama tarik sokongan," dakwa Nazri lagi.