PADANG TERAP: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini mengulangi kenyataannya yang menyifatkan negeri yang dikuasai UMNO atau yang kerusi Dewan Undangan Negerinya didominasi parti itu, adalah tidak stabil dan mudah berlaku pertukaran kerajaan.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu, teori berkenaan terbukti apabila berlaku perubahan kepimpinan di Perak, selain pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor, yang dakwanya akibat tindakan UMNO.

Tambahnya, situasi itu sudah difahami umum berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, termasuk dalam kalangan mereka yang masih mentah.

Bagaimanapun, jelas Muhammad Sanusi, UMNO boleh sahaja mengambil keputusan menafikan atau 'tidak memperakui' teori yang dikemukakannya, memandangkan parti itu berhak berbuat demikian.

"Tengoklah di mana kerusi UMNO banyak, akan berlaku pertukaran kerajaan. Di Perak tukar, di Johor pilihan raya, tukar, di Melaka, pilihan raya. Tetapi, di Kedah, ia tak berlaku.

"Itu pemerhatian (umum). Budak sekolah pun tahu tengok, boleh perhati, berkenaan hakikat yang tidak dapat ditolak itu. Itu memang benar. Cuma mereka tak mahu mengaku," katanya.

Muhammad Sanusi berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Himpunan Pelancaran Jentera PRU15 Pas Kedah di SRITI Naka, di sini, malam tadi.

Beliau sebelum ini dalam satu ucapan menyatakan, kestabilan politik dalam negara seperti yang sering dilaungkan Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, hanya boleh dicapai sekiranya parti itu tidak lagi memerintah.

Ia berikutan ketidakstabilan politik yang berlaku sehingga beberapa PRN terpaksa diadakan, hasil tindakan BN selepas diberi peluang kembali memerintah, tambahnya.