Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan niat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bukan mahu mengubah pentadbiran negara menyebabkan Pas menolak bergabung dalam Pakatan Harapan.

Jelasnya, perkara itu kerap dibangkitkan bekas Perdana Menteri itu dalam setiap siri ceramah dan ucapannya.

"Kalau dengar balik ucapan dia (Tun Mahathir), dia nak menyerang peribadi Datuk Seri Najib, bukan nak ubah pemerintahan. Kalau ubah pemerintahan, itu lain. Oleh sebab dia nak menjatuhkan orang, maka kita tidak boleh (bersama Pakatan Harapan)," katanya semasa Bicara Santai Bersama Ayah Chik dengan Penceramah Bebas, Ustaz Azhar Idrus di Taman Syahbandar di sini hari ini.

Malah, penyertaan DAP dalam Pakatan Harapan memberi keyakinan kepada Pas untuk tidak menyertai blok pembangkang itu.

"Apalagi dia pula bergabung dengan DAP yang terang-terang parti yang menentang Islam dan dalamnya ada puak Islam liberal iaitu Islam yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Orang Islam mengaku Islam tetapi banyak kritik," tambahnya.

Beliau berkata, Pas tidak berhasrat untuk merebut kuasa sebaliknya, mahukan perubahan pentadbiran kerajaan sedia ada.

"Pas bukan nak berebut kuasa tetapi Pas nak supaya kerajaan mengubah cara pemerintahan," katanya lagi.

Kata Abdul Hadi lagi, Tun Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri dan timbalannya ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memulakan suatu permasalahan dalam pengurusan ekonomi negara sehingga membebankan rakyat.

"Itu berkait dengan masalah tadbir negara, bukan berkait dengan Tun Dr Mahathir. Masalahnya dia sudah melakukan kesalahan semasa dia memerintah tahun 80-an hingga 2000, bersama timbalannya (ketika itu) Anwar Ibrahim. Kerajaan berniaga, sepatutnya kerajaan mengawal. Maka berlaku kepentingan diri dan rakyat susah," kata beliau.