Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad antara calon yang menyerahkan borang pencalonan selepas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti.

Difahamkan Noraini yang juga Exco Wanita Umno menyerahkan borang pencalonannya, petang tadi.

Memetik laporan Berita Harian, turut bersama beliau menghantar borang pencalonan adalah Ketua Penerangan parti itu, Datuk Rosni Zahari yang akan bertanding bagi jawatan Naib Ketua Wanita UMNO.

Semalam, Shahrizat dalam satu kenyataan mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti itu hujung bulan ini kerana mengambil kira dan memandang serius suara lantang rakyat yang mahu melihat perubahan dan pembaharuan dalam Umno.

Berikutan pengumuman itu, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Azizah Mohd Dun, mengesahkan akan bertanding bagi calon ketua wanita parti itu dalam pemilihan pada 23 Jun ini.

Azizah menjelaskan beliau sukarela menawarkan diri susulan keputusan Shahrizat tidak mahu mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 2008 demi mengukuhkan kembali saf kepimpinan Wanita UMNO.