Skip to main content

Politik

Nurul Izzah tegaskan kekal dalam perjuangan parti menerusi wadah berbeza

NURUL IZZAH
Nurul Izzah ketika hadir merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini. -Foto Astro AWANI
Advertisement

AYER KEROH: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan agenda reformasi menerusi wadah berbeza meskipun bukan berjuang secara terus melalui jawatan kepimpinan parti.

Meskipun mengakui tindakan dan pandangan yang dibawanya sering menjadi perdebatan pelbagai pihak, namun keutamaan beliau adalah untuk kekal jujur pada diri sendiri serta memelihara amanah yang digalas.

“Untuk sesetengah orang, mereka sukar menerima apabila saya kalah pada 2022, ada pula yang tidak boleh terima apabila saya menang pada 2025 dan bagi yang lain, adalah tidak wajar untuk saya meninggalkan jawatan pada 2026.

“Kita tidak boleh memuaskan hati semua orang, tetapi kita hanya perlu kekal jujur kepada diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata kepimpinan bukan sekadar soal mempertahankan jawatan atau memiliki kuasa, sebaliknya merupakan tanggungjawab besar dalam memelihara amanah rakyat.

Lantaran itu, beliau memilih untuk meneruskan perjuangan memartabatkan agenda 'masyarakat Madani', namun melalui pendekatan luar dari struktur utama parti.

“Saya memilih untuk terus berjuang bukan secara terus dalam parti, tetapi menerusi laluan masyarakat madani.

“Jangan sekali-kali hilang amanah ini (kerana) reformasi adalah perjalanan manusia kembali kepada amanah, dan perjalanan itu ada dalam tangan saudara-saudari,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah ketika cuba didekati media mengelak daripada menjawab soalan wartawan berhubung tindakannya berundur daripada jawatan nombor dua parti itu hari ini.

Beliau terus beredar walaupun wartawan menunggu agak lama untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keputusannya itu.

Must Watch Video

Advertisement