"Saya tak kisah kalau digelar calon yang tak serik atau 'recycle'."

Itu kata-kata yang keluar daripada Yusof Awang Hitam atau lebih dikenali sebagai Pak Usop yang merupakan calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir.

DUN Manir menyaksikan lebih enam penggal dipegang oleh Pas dan kali ini Pak Usop sekali lagi dipilih menjadi calon di kawasan itu.

Kali terakhir beliau dicalonkan bertanding di DUN yang sama adalah pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) dan tewas ditangan penyandang ketika ini iaitu Hilmi Harun dengan majoriti 588 undi.

Walaupun ramai yang beranggapan kerja beliau mungkin sia-sia seperti mana pilihan raya umum yang lalu, beliau tetap optimis masyarakat di situ mahukan perubahan.

"Saya tidak serik membantu dan berkhidmat untuk masyarakat di DUN Manir.

"InsyaAllah apa yang kita buat sebelum ni dan menjelang 9 Mei, rakyat di DUN Manir boleh menilai sendirilah walaupun hati kecil saya tak serik untuk berkhidmat," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.

Pernah tewas tetapi beliau merupakan orang yang boleh dianggap sebagai pemimpin politik yang 'degil' kerana terus menabur bakti walaupun tidak menjadi wakil rakyat.

Malah atas usaha dengan berbekalkan sumber kewangan sendiri, beliau sanggup menubuhkan pusat rawatan di daerah itu dengan membawa khidmat daripada doktor pakar untuk masyarakat di kawasan Manir.

Ditanya sama ada beliau tidak berasa rugi atau melakukan kerja sia-sia memandangkan kawasan tersebut merupakan kubu kuat Pas, Pak Usop dengan yakin menjawab ia terpulang kepada pengundi dan pemimpin berjiwa besar itu akan terus melaksanakan amanah yang diberikan.

"Kalau nak diikutkan semua pembangunan di Manir ini kita yang buat walaupun dia yang menang tetapi apa nak buat kerana orang harapkan kita.

"Mereka (pembangkang) ibarat menangguk di air yang keruh dengan mengambil kredit apa yang kita laksanakan. Jadi masyarakat harus berfikir panjang dan mereka sememangnya mahukan perubahan," katanya.